Pilih Kampung IGP Jadi Kampung Angkat Madani, Budaya Kronisme – Bersatu

KUALA LUMPUR, 16 Jun 25 – Pemilihan kampung ibu kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain sebagai Kampung Angkat Madani didakwa membudaya kronisme oleh pentadbiran kerajaan hari ini, dakwa pemimpin Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu berkata, pemilihan itu menunjukkan berlakunya konflik kepentingan kerana membabitkan perbelanjaan wang rakyat oleh badan penguatkuasa undang-undang.

“Sejak bila pula seorang individu boleh “memilih kampung ibunya” untuk menerima wang rakyat sehingga RM1 juta?

“Jika Razarudin mahu membantu kampung ibunya, maka sepatutnya gunakanlah wang sendiri,” kata Wan Saiful, dalam hantaran di Facebook.

Beliau merujuk laporan berita bertajuk “Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memilih kampung ibunya iaitu Kampung Parit Seberang di sini sebagai Kampung Angkat Madani 2025 di bawah seliaannya.”

Katanya, ia merupakan satu lagi bukti betapa amalan kronisme semakin memuncak dalam kerajaan hari ini.

“Lebih menyedihkan, ia dilakukan oleh PDRM, iaitu pasukan yang sepatutnya menjulang integriti dan tadbir urus baik dalam negara.

“Bapa pilih anak. Suami pilih isteri. Anak pilih ibu. Abang pilih adik. Semuanya ada dalam kerajaan hari ini,” dakwa Wan Saiful.

Wan Saiful berkata, dia juga tidak terkejut sekiranya alasan digunakan adalah proses pemilihan dibuat secara telus oleh jawatankuasa bebas.

“Sebagai respon awal, saya katakan bahawa ini adalah ‘afterthought’ selepas barah kronisme didedahkan oleh media.

“Dan itu juga alasan basi yang amat biasa digunakan oleh semua kroni seluruh dunia,” katanya lagi. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share