PN Tembusi Kg Titingan Isyarat Perubahan Sokongan, Fokus Pada “Masalah Tiga Beradik”

TAWAU, 18 NOV 25 — Ceramah kelompok Perikatan Nasional (PN) di Kampung Titingan semalam, menampilkan Datuk Seri Saifuddin Abdullah bersama calon PN DUN Apas, Lim Ting Khai, yang mencatat perkembangan penting apabila kawasan yang sebelum ini sukar dimasuki PN kini menunjukkan perubahan ketara dalam sokongan penduduk.

Program tersebut bukan sekadar sesi penerangan politik, tetapi turut menumpukan isu besar yang semakin meresap dalam kehidupan rakyat Sabah — apa yang disebut sebagai “Masalah Tiga Beradik”: air, elektrik, dan jalan raya.

Dalam ucapannya, Saifuddin menegaskan bahawa kekecewaan rakyat terhadap kerajaan negeri berpunca daripada kegagalan menyelesaikan tiga masalah asas ini, yang telah berlarutan bertahun-tahun lamanya.

Beliau menyatakan bahawa krisis bekalan air yang kerap, gangguan elektrik yang berpanjangan serta keadaan jalan raya yang semakin uzur telah menjejaskan kualiti hidup rakyat dan membantutkan pembangunan ekonomi di kawasan seperti Apas dan Titingan.

“Selagi ‘Tiga Beradik’ ini tidak diselesaikan, rakyat Sabah akan terus merasa tertinggal,” katanya dalam ceramah tersebut.

Sementara itu, calon PN, Lim Ting Khai, menekankan bahawa penyelesaian masalah asas ini menjadi keutamaan dalam agenda beliau untuk DUN Apas, selain isu perumahan, kebajikan penduduk berpendapatan rendah dan pembangunan setempat.

Kehadiran penduduk di ceramah berkenaan dilihat lebih menggalakkan berbanding sebelum ini, menandakan wujudnya perubahan penerimaan dan minat terhadap tawaran PN.

Ceramah di Kg Titingan itu merupakan sebahagian daripada siri Jelajah Rakyat PN, yang terus menumpukan isu-isu rakyat sebagai teras kempen menjelang pilihan raya negeri Sabah. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share