Tok Mat Cabar PAS: Uji Keikhlasan Di Terengganu

KUALA LUMPUR | 13 Sep 26 – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mencabar PAS membuktikan keikhlasannya untuk bekerjasama dengan UMNO dengan menguji formula berkenaan di Terengganu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Mohamad berkata, jika PAS benar-benar serius untuk membina kerjasama politik dengan UMNO, salah satu negeri di bawah penguasaan PAS menerusi gabungan SG4 boleh dijadikan medan menguji sejauh mana kedua-dua parti sanggup berkompromi dalam soal pembahagian kerusi.

Menurut beliau, Terengganu antara negeri yang sesuai dijadikan medan ujian kerana PAS mempunyai kedudukan dominan di negeri berkenaan.

Cadangan itu dilihat membawa persoalan lebih besar kepada hubungan PAS-UMNO, khususnya sama ada kesediaan bekerjasama yang sering disebut oleh kedua-dua parti mampu diterjemahkan kepada pengorbanan politik sebenar apabila melibatkan kerusi pilihan raya.

Mohamad berkata, pengalaman kerjasama UMNO-BN dengan PAS di Johor dan Negeri Sembilan boleh menjadi asas untuk menguji formula sama di negeri yang dikuasai PAS.

Beliau mencadangkan supaya satu PRN diadakan di negeri SG4 selepas PRN Melaka bagi melihat keberkesanan formula kerjasama itu sebelum ia diperluaskan ke peringkat Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Bagi UMNO, ujian sebenar bukan sekadar kesediaan PAS duduk di meja rundingan, tetapi sejauh mana parti itu bersedia membuat kompromi apabila rundingan menyentuh kepentingan dan penguasaan kerusi.

Cadangan tersebut sekali gus meletakkan Terengganu sebagai kemungkinan medan penting untuk menguji realiti kerjasama PAS-UMNO, khususnya selepas kedua-dua parti semakin terbuka membincangkan bentuk kerjasama politik menjelang PRU16.

Dalam masa sama, Mohamad mengingatkan UMNO supaya tidak terlalu bergantung kepada kerjasama dengan mana-mana parti sehingga mengabaikan usaha memperkukuh kekuatan sendiri.

Perkembangan itu memberi gambaran bahawa rundingan PAS-UMNO mungkin memasuki fasa lebih kritikal, apabila persoalan selepas ini bukan lagi sekadar “mahu bekerjasama atau tidak”, tetapi siapa sanggup mengalah apabila tiba masa menentukan kerusi. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share