PN Tuntut Penjelasan FAM, Menteri Sukan Berhubung Hukuman FIFA

KUALA LUMPUR, 27 Sep 25 – Perikatan Nasional (PN) menuntut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Menteri Belia dan Sukan memberikan penjelasan segera berhubung keputusan FIFA yang mengenakan denda RM1.9 juta serta menggantung tujuh pemain selama setahun akibat kes pemalsuan dokumen.

Ketua Whip Ahli Parlimen PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata insiden memalukan itu bukan sahaja menjejaskan reputasi FAM tetapi turut mencemarkan nama baik negara di pentas antarabangsa.

Menurutnya, rakyat Malaysia berhak berasa marah kerana kejadian seumpama ini tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Skandal ini bukan sekadar isu teknikal, tetapi seolah-olah satu pengkhianatan terhadap integriti sukan negara. Persoalannya – siapa yang membenarkan dokumen palsu ini diproses? Adakah ia kecuaian atau unsur penipuan yang disengajakan?” katanya dalam kenyataan media hari ini.

PN menegaskan kepimpinan FAM perlu bertanggungjawab sepenuhnya dan tidak memadai hanya dengan mengemukakan rayuan terhadap keputusan FIFA. Parti itu juga menuntut siasatan bebas dan telus melibatkan pihak berkuasa berkaitan bagi mengenal pasti pihak yang bersalah.

“Jika terbukti ada individu tertentu terlibat, mereka mesti dikenakan tindakan sewajarnya tanpa kompromi,” tegas Takiyuddin, yang juga bekas Naib Presiden FAM.

PN turut menuntut Menteri Belia dan Sukan segera tampil memberi penjelasan mengenai langkah yang akan diambil untuk memulihkan integriti bola sepak negara.

“Jalan pintas dengan menipu dokumen bukan jawapannya. Hanya disiplin, ketelusan dan integriti yang akan mengangkat kembali maruah bola sepak Malaysia,” katanya.

Semalam, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengenakan hukuman berat terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain selepas didapati bersalah menggunakan dokumen palsu ketika proses pendaftaran kelayakan pemain.

Dalam kenyataan rasmi di laman Inside FIFA, Jawatankuasa Tatatertib badan induk itu memutuskan FAM melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen untuk membolehkan beberapa pemain warisan beraksi bersama skuad kebangsaan. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share