Premis Berlesen Jadi ‘Topeng’ Judi Haram, Razali Gesa Tindakan Tegas di Seremban

SEREMBAN | 17 Ogos 26 – Kegiatan perjudian haram yang dipercayai berselindung di sebalik premis perniagaan sah di Seremban perlu dihentikan segera kerana bukan sahaja melanggar undang-undang, malah berpotensi mencemarkan imej bandar raya itu sebagai destinasi pelancongan.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Negeri Sembilan, Datuk Razali Abu Samah berkata, kewujudan premis yang menjalankan aktiviti perjudian tanpa lesen, termasuk menggunakan perniagaan sah sebagai lindungan, merupakan perkara serius yang perlu diberi perhatian pihak berkuasa.

Beliau berkata, perkara itu dikesan ketika beliau menjalankan tinjauan bersama Datuk Bandar Seremban, Dato’ Ir. Ts. Haji Masri Baharuddin serta pegawai dan kakitangan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) di beberapa lokasi sekitar bandar raya berkenaan.

Menurut Razali, tinjauan itu pada asalnya bertujuan menilai potensi kawasan yang mempunyai nilai pelancongan, termasuk lokasi sekitar kolam memancing dan lorong seni, namun pihaknya turut menerima maklumat awam berhubung kegiatan tidak sihat termasuk vandalisme dan dakwaan perjudian haram.

“Hasil pemerhatian di lokasi tersebut, terdapat aktiviti yang dipercayai berkaitan dengan perjudian dalam talian dan pertaruhan nombor haram. Turut diperhatikan urusan tambah nilai dengan nilai tertentu, termasuk RM20 dan RM50, yang berkaitan dengan aktiviti tersebut,” katanya.

Razali berkata, lebih membimbangkan, premis berkenaan pada zahirnya menjalankan perniagaan yang sah seperti menjual alat tulis dan menyediakan perkhidmatan membuat cop getah.

Bagaimanapun, katanya, pemeriksaan mendapati terdapat aktiviti lain yang dipercayai tidak selaras dengan aktiviti perniagaan yang didaftarkan atau dilesenkan.

“Penggunaan sesuatu premis bagi menjalankan aktiviti perniagaan yang sah tidak seharusnya dijadikan alasan atau lindungan untuk menjalankan aktiviti yang melanggar undang-undang,” katanya.

Beliau menegaskan mana-mana premis yang tidak berdaftar, tidak mempunyai lesen, beroperasi di luar skop lesen atau menggunakan lesen bagi sesuatu aktiviti sebagai lindungan untuk menjalankan aktiviti lain yang menyalahi undang-undang perlu dikenakan tindakan sewajarnya.

Susulan penemuan itu, Razali berkata pihaknya bersama Datuk Bandar Seremban telah meminta kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, untuk menjalankan pemeriksaan dan siasatan lanjut terhadap premis berkenaan.

Pada masa sama, kerjasama antara pihak berkuasa tempatan, PDRM dan agensi penguatkuasaan berkaitan akan diperkukuh bagi mengenal pasti premis lain yang dipercayai menggunakan modus operandi sama.

Razali turut menyeru orang awam supaya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengetahui kewujudan premis yang menjalankan aktiviti perjudian atau kegiatan lain yang menyalahi undang-undang.

Katanya, tindakan membanteras kegiatan terbabit penting bagi memastikan usaha membangunkan Seremban sebagai destinasi pelancongan yang menarik, selamat dan harmoni tidak dicemari aktiviti tidak sihat.

“Kita tidak mahu usaha membangunkan Bandaraya Seremban sebagai destinasi pelancongan yang menarik, selamat dan harmoni dicemari oleh kegiatan tidak sihat,” katanya.

Razali bagaimanapun menegaskan tindakan penguatkuasaan perlu dibuat berdasarkan fakta, bukti dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa supaya setiap tindakan yang diambil benar-benar tegas, berasas dan dapat dipertahankan dari sudut undang-undang.

Razali baru-baru ini dilantik sebagai EXCO Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan. Beliau merupakan EXCO pertama parti Wawasan Negara yang menang dalam PRN Negeri Sembilan, awal bulan ini. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share