PRN Johor Bukan Referendum Bebaskan Najib – Tokoh Wartawan

KUALA LUMPUR | 5 Julai 26 – Wartawan veteran, Datuk A. Kadir Jasin menolak dakwaan bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang sedang berlangsung merupakan referendum untuk membebaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurut beliau, tidak ada alasan mengapa pengundi Johor perlu dijadikan “tikus makmal” atau “bahan gadaian” bagi menentukan nasib Najib yang berasal dari Pahang.

“Ada orang cuba menggambarkan PRN Johor sebagai pungutan suara (referendum) untuk membebaskan Mohd Najib Abdul Razak.

“Saya kurang jelas mengapa pengundi Bangsa Johor, dalam pilihan raya negeri mereka, hendak dijadikan tikus makmal atau bahan gadaian bagi membebaskan Mohd Najib,” katanya dalam satu kenyataan.

A. Kadir turut membangkitkan kemungkinan naratif itu dimainkan oleh pihak tertentu yang mahu meraih manfaat politik atau kewangan.

“Atau ini hanyalah helah sesetengah oportunis yang menangguk di air keruh untuk mendapatkan sumbangan kewangan daripada kem Mohd Najib. Banyak orang tahu yang kem Mohd Najib adalah kem yang berduit,” katanya.

Mengulas perkembangan politik Johor, beliau turut menyentuh gesaan PAS supaya ahlinya mengundi calon Barisan Nasional (BN) di kawasan yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, tindakan itu lebih dilihat sebagai usaha menyekat kemenangan Pakatan Harapan (PH) berbanding menjadi petanda penyatuan politik Melayu.

“Saya cenderung melihat pendirian PAS itu sebagai percubaan menyekat Pakatan Harapan atau menumpang populariti UMNO di negeri itu sambil menyekat PH,” katanya.

Dalam masa sama, A. Kadir berpandangan sokongan masyarakat Cina dan India terhadap PH semakin merosot susulan kekecewaan terhadap prestasi kerajaan, termasuk isu reformasi institusi, janji pilihan raya yang belum ditunaikan serta beberapa isu berkaitan kepentingan kaum.

Beliau turut meramalkan BN berpotensi mengekalkan, malah meningkatkan pencapaiannya dalam PRN Johor memandangkan negeri itu secara tradisinya merupakan kubu kuat UMNO.

“Johor ini adalah kubu UMNO. Jadi, tidaklah memeranjatkan kalau BN mengekalkan malah memperbaiki pencapaiannya,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

Haniff Khatri: Dakwaan Shafee Abdullah Munasabah

Menurut Haniff, kenyataan Shafee yang mendakwa keputusan Mahkamah Tinggi boleh memberi kesan kepada kuasa Raja-Raja Melayu tidak seharusnya ditanggapi berdasarkan ayat tunggal, sebaliknya keseluruhan konteks dan logik hujahnya perlu dilihat secara holistik.
Read More
Total
0
Share