
KUALA LUMPUR | 13 Okt 26 — Ahli Majlis Tertinggi Wawasan Negara, Syed Hassan Syed Ali, mendakwa tindakan Ahli Parlimen DAP, RSN Rayer, membangkitkan isu berkaitan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Rakyat mungkin mempunyai agenda politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Menurutnya, tindakan itu menimbulkan persoalan sama ada serangan terhadap Presiden UMNO berkenaan bertujuan memberikan tekanan kepada Barisan Nasional (BN) supaya bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi PRN Melaka.
“Saya percaya ini hanyalah mainan di kalangan PH untuk membuatkan Zahid fikir dua kali nak bekerjasama dengan PN Perikatan Nasional ataupun dengan PAS. Katanya kepada politiko, hari ini.
Syed Hassan berpandangan, Melaka mempunyai kepentingan strategik kepada DAP dan PH dalam percaturan politik mereka, khususnya bagi menentukan bentuk kerjasama politik yang bakal dibentuk menjelang pilihan raya negeri itu.
Beliau mendakwa isu berkenaan mungkin digunakan untuk mempengaruhi pertimbangan Zahid, sama ada BN harus bekerjasama dengan PH, Perikatan Nasional (PN), termasuk PAS, atau memilih untuk bertanding secara bersendirian.
“Kalau Zahid diserang atas isu ini, persoalannya, mengapa sekarang? Sebelum ini, sudah beberapa kali kes Zahid menjadi perhatian, tetapi perkara seperti ini tidak dibangkitkan dengan nada yang sama,” katanya.
Syed Hassan turut mempersoalkan sama ada pendekatan tersebut mencerminkan pendirian yang konsisten dalam soal ketelusan dan penghormatan terhadap proses perundangan.
Beliau membangkitkan persoalan mengapa isu seumpama itu tidak mendapat perhatian yang sama ketika Lim Guan Eng berdepan kes mahkamah sebelum ini.
“Kalau benar-benar mahu menunjukkan ketelusan dan tidak mahu mencampuri urusan undang-undang atau mahkamah, prinsip itu sepatutnya digunakan secara konsisten, tanpa mengira siapa yang terlibat,” katanya.
Menurut Syed Hassan, percaturan kerjasama BN dengan PH, PN atau keputusan untuk bergerak secara solo bukan sekadar soal strategi pilihan raya, sebaliknya boleh mempengaruhi persaingan antara parti-parti Melayu serta corak pengundian di Melaka.
Terdahulu, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memastikan pertuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung kes dana Yayasan Akalbudi dipertimbangkan semula, susulan keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) yang diberikan terhadap beliau. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.