Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026 kini memasuki fasa awal kempen. Walaupun tempoh berkempen masih panjang, beberapa corak dan strategi parti-parti utama mula dapat diperhatikan. Setakat ini, tiada satu pun parti yang benar-benar menguasai naratif kempen secara menyeluruh, sebaliknya masing-masing masih cuba mencari rentak dan menyesuaikan pendekatan dengan mood pengundi Johor.
PH fokus angkat imej Anwar dan rekod Kerajaan Persekutuan
Pakatan Harapan (PH) dilihat meletakkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai aset utama kempen. Hampir setiap program besar menampilkan kepimpinan pusat dengan mesej bahawa hubungan baik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri akan membawa lebih banyak pembangunan kepada Johor.
Naratif utama PH adalah kestabilan pentadbiran dan kemampuan kerajaan pusat menyalurkan pelbagai bantuan serta projek pembangunan kepada negeri itu. Strategi ini menunjukkan PH mahu menjadikan Anwar sebagai faktor penarik sokongan, khususnya dalam kalangan pengundi bandar dan atas pagar.
BERSAMA tersilap langkah di awal kempen
Parti BERSAMA pula dilihat memulakan kempen dengan langkah yang kurang menguntungkan apabila memberi tumpuan kepada isu penternakan babi di Selangor.
Walaupun isu tersebut mungkin mempunyai nilai politik di negeri lain, ia dilihat kurang menyentuh keutamaan pengundi Johor yang lebih banyak membincangkan soal kos sara hidup, peluang pekerjaan, pembangunan ekonomi dan isu setempat.
Kesilapan memilih isu pada minggu-minggu awal berkempen berpotensi menyebabkan BERSAMA kehilangan peluang membina naratif yang lebih dekat dengan kehidupan rakyat Johor.
BN tampil dengan manifesto, namun dibayangi kontroversi Puad Zarkashi
Barisan Nasional (BN) memilih untuk memberi penekanan kepada manifesto serta tawaran kepada rakyat Johor. Pendekatan ini selari dengan kedudukan BN sebagai kerajaan negeri yang mempertahankan rekod pentadbirannya.
Bagaimanapun, fokus tersebut sedikit terganggu apabila beberapa kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Puad Zarkashi, mencetuskan polemik dalam kempen. Perdebatan yang timbul akibat kenyataan beliau mengalih sebahagian perhatian media dan pengguna media sosial daripada mesej utama BN kepada isu-isu sampingan yang tidak semestinya memberi kelebihan kepada parti itu.
Bersatu bergelut dengan kekuatan jentera
Antara pemerhatian paling ketara setakat ini ialah keadaan jentera Bersatu.
Berbanding PRN sebelum ini, aktiviti kempen akar umbi Bersatu dilihat agak terhad dan kurang menyerlah. Kehadiran jentera di lapangan juga tidak begitu menonjol berbanding parti-parti lain.
Dari sudut komunikasi pula, Bersatu banyak bergantung kepada imej Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kempen turut membawa naratif nostalgia ketika beliau menjadi Perdana Menteri, khususnya berkaitan kepimpinan sewaktu pandemik COVID-19 dan pelaksanaan pelbagai bantuan rakyat.
Persoalannya, sejauh mana nostalgia tersebut masih mampu diterjemahkan kepada sokongan undi pada tahun 2026.
PAS fokus kepada kerusi sendiri
PAS pula dilihat mengambil pendekatan yang lebih bersifat organisasi berbanding komunikasi.
Tumpuan parti itu lebih menjurus kepada menggerakkan jentera di 11 kerusi Dewan Undangan Negeri yang ditandinginya. Setakat pemerhatian awal, PAS juga dilihat bergerak secara berasingan tanpa penyelarasan kempen yang ketara bersama Bersatu.
Pendekatan ini menunjukkan PAS lebih memberi keutamaan kepada usaha mempertahankan dan memaksimumkan peluang di kawasan yang ditandinginya sendiri.
Keputusan PRN Johor Jawab Persoalan
Walaupun kempen masih di peringkat awal, terdapat beberapa persoalan penting yang bakal menentukan landskap politik Johor selepas hari pengundian.
Antaranya:
- Berapakah peratusan keluar mengundi? PRN Johor 2022 merekodkan hanya sekitar 54 peratus. Adakah angka itu akan meningkat atau terus kekal rendah?
- Mampukah BN mengekalkan 40 kerusi yang dimenangi pada PRN 2022, atau berdepan penyusutan sokongan?
- Mampukah PH mempertahankan 11 kerusi yang dimenangi sebelum ini?
- Adakah parti BERSAMA mampu mencipta kejutan dengan memenangi kerusi pertamanya?
- Mampukah Bersatu mempertahankan dua kubu terakhirnya di Bukit Kepong dan Endau?
- Adakah Parti Pejuang mampu mengelakkan kehilangan deposit?
- Mampukah MUDA mempertahankan satu-satunya kerusi yang dimenanginya?
- Adakah PSM, MIPP atau calon bebas berupaya mencipta kejutan?
- Berapa banyak kerusi yang mampu dimenangi PAS dalam pertandingan kali ini?
Pembentukan Naratif Kempen
Kempen PRN Johor masih berada di peringkat pembentukan naratif. Setiap parti mempunyai strategi tersendiri, namun belum ada mana-mana yang benar-benar berjaya menguasai medan kempen.
Minggu-minggu terakhir sebelum hari pengundian dijangka menjadi penentu sebenar apabila parti-parti mula memperkemaskan jentera, menumpukan sumber di kerusi marginal dan menyesuaikan mesej mereka dengan sentimen pengundi.
Buat masa ini, perang persepsi baru sahaja bermula. @analitiko
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.