PRN Negeri Sembilan Boleh Jadi ‘Kubur Kedua’ BERSATU

KUALA LUMPUR | 16 Julai 26 – Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan disifatkan berisiko menjadi “kubur kedua” kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sekiranya parti itu sekali lagi gagal memecahkan dominasi lawan selepas mengalami kekalahan menyeluruh di Johor.

Penganalisis politik Universiti Malaya (UM), Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berkata, keputusan PRN Johor yang menyaksikan BERSATU dan Perikatan Nasional (PN) tewas di semua kerusi yang ditandingi telah memberikan gambaran jelas mengenai kemerosotan pengaruh parti itu di negeri berkenaan.

Menurut beliau, kekalahan tersebut bukan sekadar kehilangan kerusi, malah mencerminkan bahawa BERSATU sudah hilang tapak sokongan di Johor sehingga boleh dianggap “lenyap” daripada landskap politik negeri itu.

“Ya, saya bersetuju PRN Negeri Sembilan berisiko menjadi kubur kedua kepada Bersatu. Apa yang berlaku di Johor sebenarnya melambangkan apabila Bersatu dan Perikatan Nasional tewas di semua kerusi yang ditandingi, seolah-olah menjelaskan bahawa Bersatu sudah lenyap di bumi Johor,” katanya dalam wawancara di asto awani, semalam.

Beliau berkata, trend itu berpotensi berulang pada PRN Negeri Sembilan sekiranya Bersatu gagal menawarkan naratif baharu atau mengembalikan keyakinan pengundi terhadap parti tersebut.

Malah, katanya, kekalahan di Negeri Sembilan akan membawa kesan politik yang lebih besar kerana negeri itu sering dikaitkan dengan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Lebih memalukan apabila Bersatu itu lenyap di bumi presidennya sendiri. Bagi saya, ini merupakan satu isyarat yang sungguh serius dan kritikal kepada Bersatu,” katanya.

Sehubungan itu, Dr. Mohammad Tawfik berpandangan kepimpinan BERSATU perlu segera menilai semula hala tuju parti dengan meneroka kemungkinan membentuk jajaran politik baharu atau menjalin kerjasama politik yang lebih luas.

Semalam, BERSATU mengumumkan akan menyertai PRN Negeri Sembilan menggunakan lambang parti itu. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share