Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan semakin menghampiri penamat dengan tiga perkembangan utama semakin jelas. Pertama, kerjasama Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) berjaya mengubah landskap pertandingan melalui penyatuan kekuatan pembangkang. Dimana-mana lapangan kempen, kita melihat dengan jelas kebersamaan BN dan PN.
Kedua, Bersatu masih dibayangi krisis dalaman sehingga gagal menonjolkan identitinya sendiri. Ketiga, Pakatan Harapan (PH) pula dilihat masih bergantung kepada pendekatan lama yang melabel lawan sebagai membawa politik perkauman dan ekstremisme.
Kerjasama PN-BN menjadi faktor paling menonjol sepanjang kempen. Walaupun pernah menjadi seteru politik, kedua-dua parti kini tampil dengan mesej yang lebih tersusun, mengutamakan penyelarasan jentera dan mengelakkan pertembungan sesama sendiri.
Pendekatan ini memberi gambaran bahawa pembangkang sedang membina formula baharu untuk menawarkan alternatif yang lebih tersusun kepada pengundi.
Dari sudut persepsi, kerjasama ini turut mengurangkan risiko perpecahan undi, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu. Mesej penyatuan lebih mudah difahami berbanding persaingan tiga penjuru yang sering memberi kelebihan kepada pihak lawan.
Sama ada ia mampu diterjemahkan kepada kemenangan masih bergantung kepada keputusan pengundi, namun dari sudut kempen, PN-BN berjaya mencipta momentum yang berbeza.
Sebaliknya, BERSATU masih kelihatan bergelut. Walaupun kekal sebahagian daripada blok pembangkang, parti itu tidak lagi menjadi wajah utama kempen. Dalam banyak kempen mereka, ketara jelas mesej mereka terus menyalahkan pihak lain. Ini ‘vibe’ negatif.
Situasi ini mencerminkan cabaran yang lebih besar. Krisis kepimpinan dan pergolakan dalaman sejak beberapa bulan lalu masih meninggalkan kesan terhadap keyakinan penyokong. Tanpa pembaharuan yang jelas, BRSATU berisiko terus kehilangan pengaruh dalam gabungan yang semakin memberi penekanan kepada kerjasama antara parti berbanding dominasi sebuah parti.
Di pihak kerajaan, PH pula dilihat masih menggunakan formula kempen yang sama seperti pilihan raya terdahulu. Banyak ucapan pemimpinnya terus menumpukan kepada amaran terhadap politik perkauman, ekstremisme dan kebencian. Strategi ini mungkin masih mengukuhkan penyokong sedia ada, namun persoalannya ialah sama ada ia masih berkesan untuk menarik pengundi atas pagar.
Selepas beberapa tahun menerajui kerajaan Persekutuan, tumpuan rakyat kini lebih banyak tertumpu kepada prestasi pentadbiran, kos sara hidup dan pelaksanaan janji. Dalam keadaan itu, kempen yang terlalu bergantung kepada pelabelan terhadap lawan politik berisiko dilihat tidak lagi mencukupi untuk menjawab kebimbangan sebenar pengundi.
Secara keseluruhannya, PRN Negeri Sembilan memperlihatkan landskap politik yang sedang berubah. Kerjasama PN-BN memberi isyarat bahawa pembangkang sedang mencari pendekatan lebih pragmatik melalui penyatuan kekuatan.
Keputusan PRN ini bukan sahaja menentukan kerajaan negeri, malah bakal menjadi petunjuk awal sama ada politik Malaysia sedang memasuki era penjajaran baharu berasaskan kerjasama strategik, atau masih terperangkap dalam kitaran retorik dan pelabelan yang semakin kurang memberi kesan kepada pengundi. @analitiko
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.