
Mungkin mengejutkan, dan mungkin juga sudah dijangka akan dua analisis berbeza, satu dari lapangan, satu dari perspektif akademik, kini bertemu pada satu titik sama iaitu Sabah berdepan risiko dewan tergantung dek kerana keputusan pilihan raya negeri yang tidak jelas pemenang sebenar.
Namun ini semua ramalan berdasarkan pengalaman dan kajian mereka. Keputusan sebenar hanya akan diketahui malam ini atau esok.
Ilham Centre, dalam kajian komprehensif merentas enam wilayah Sabah, meramalkan bahawa GRS kekal blok terbesar, namun masih tidak mencapai majoriti mudah.
Angka yang mereka bentangkan menunjukkan hakikat yang sukar dielakkan di mana, landskap politik Sabah terlalu pecah, dan terlalu banyak kerusi marginal untuk membolehkan mana-mana gabungan mendabik dada sebagai pemenang mutlak sebaik pintu pusat mengundi ditutup.
Bridget Welsh pula datang dengan bacaan yang hampir senada namun dengan penjelasan yang lebih mendalam.
Dalam analisisnya, pilihan raya Sabah kali ini bukan sekadar persaingan parti, tetapi juga pertembungan generasi, personaliti, dan ketidaktentuan pengundi.
Dengan lebih 15 parti serta calon bebas bertanding, Welsh menegaskan bahawa “setiap undi akan menentukan”, dan apa-apa keputusan yang stabil adalah hampir mustahil tanpa rundingan selepas keputusan diumumkan.
Dalam erti lain: dua sumber berwibawa, dua pendekatan berbeza, tetapi satu amaran utama – Sabah berisiko tinggi menghadapi “hung assembly”. Dan risiko ini bukan kecil.
Dewan tergantung bukan sekadar keputusan yang tidak konklusif. Ia membuka pintu kepada rundingan elit, tawar-menawar kuasa, politik bilik hotel dan perpecahan dalaman. Ini sesuatu yang telah berulang kali mengganggu kestabilan Sabah sejak lebih satu dekad lalu.
Ia juga memberi tekanan kepada rakyat yang mahukan penyelesaian segera terhadap isu asas: air, elektrik, jalan, dan peluang ekonomi.
PRN Sabah 2025, setakat ini, mempamerkan semua elemen yang menjurus ke arah ketidaktentuan itu:
– pertandingan banyak penjuru,
– margin kerusi yang sangat tipis,
– pengundi yang tidak lagi setia kepada parti,
– serta kemunculan calon baharu yang mengganggu pola undi tradisional.
Dalam suasana sebegini, “hung assembly” bukan saja kemungkinan, tetapi senario paling realistik.
Jika ini berlaku, Sabah sekali lagi bakal melihat politiknya ditentukan bukan oleh rakyat di peti undi, tetapi oleh siapa yang lebih cekap merangka pakatan tergesa-gesa selepas tengah malam.
Kita melihat ini sebagai isyarat amaran bahawa PRN Sabah bukan sekadar medan pilihan raya malah ia ujian sama ada negeri itu boleh keluar daripada kitaran ketidakstabilan, atau sekali lagi terperangkap dalam politik intrik antara elit politik.
Untuk rakyat Sabah, keputusan Sabtu ini bukan hanya memilih kerajaan. Ia memilih sama ada masa depan negeri ini akan bermula dengan kekuatan atau disandarkan pada perjanjian yang rapuh. @analitiko
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.