
KUALA LUMPUR | 24 Julai 26 – Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Tabung Haji sengaja tidak didedahkan kepada umum sejak 2023 kerana kerajaan mahu menjaga hubungan politik dengan UMNO.
Dalam satu kenyataan pada Khamis, Rafizi berkata keputusan untuk tidak mengumumkan laporan itu dibuat walaupun laporan berkenaan telah siap, dengan alasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika itu berhati-hati bagi mengelakkan ketegangan dalam Kerajaan Perpaduan.
“Sepatutnya, laporan RCI Tabung Haji itu didedahkan seawal 2023 lagi apabila laporan itu mula-mula siap. Tetapi pada ketika itu, Dato’ Seri Anwar sangat berhati-hati untuk menjaga hati UMNO, maka keputusan dibuat untuk menanam laporan itu,” dakwanya.
Kenyataan itu dibuat susulan bayangan Anwar bahawa laporan RCI Tabung Haji akan didedahkan dalam masa terdekat.
Menurut Rafizi, beliau mengalu-alukan langkah tersebut, namun mempersoalkan mengapa laporan itu hanya mahu diumumkan selepas beliau sekali lagi membangkitkan isu berkenaan dalam ceramah Pilihan Raya Negeri Johor baru-baru ini.
Beliau turut mendakwa pendedahan yang bakal dibuat itu akan mengesahkan dakwaan-dakwaannya sebelum ini mengenai kelemahan tadbir urus Tabung Haji sepanjang pentadbiran Barisan Nasional.
Selain itu, Rafizi turut mengkritik PAS yang didakwanya telah mempertahankan pentadbiran terdahulu atas nama “perpaduan ummah”, sekali gus menyebabkan rakyat keliru mengenai isu sebenar yang berlaku dalam Tabung Haji.
Beliau juga mendakwa usaha menyelamatkan Tabung Haji pada 2019 memerlukan campur tangan kerajaan yang melibatkan puluhan bilion ringgit wang rakyat bagi menampung kerugian institusi tersebut.
Mengakhiri kenyataannya, Rafizi berkata beliau merupakan antara individu yang paling gembira sekiranya laporan RCI itu akhirnya didedahkan kerana percaya ia akan membuktikan pendedahan yang dibuatnya antara 2015 hingga 2018 mengenai kedudukan kewangan Tabung Haji adalah benar.
Bagaimanapun, beliau berharap pendedahan laporan itu menjadi pengajaran kepada semua pihak agar kepentingan awam tidak lagi dikorbankan demi kompromi politik.
Media pada Khamis melaporkan Anwar berkata kerajaan bersedia mendedahkan laporan akhir RCI berkaitan TH dalam masa terdekat bagi membolehkan rakyat mengetahui hasil siasatan terhadap dakwaan penjualan aset strategik agensi itu.
Menurutnya, beliau akan meneliti keputusan untuk menerbitkan laporan itu bersama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, yang dijangka selewat-lewatnya pada Rabu depan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.