Razlan: MB Gagal Urus Krisis Hingga Mencalar Institusi Raja-Raja

SEREMBAN | 29 Julai 2026 – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Razlan Rafii mendakwa krisis politik yang membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan berpunca daripada kegagalan Menteri Besar menguruskan isu melibatkan Istana sehingga mencetuskan konflik yang lebih besar.

Menurut beliau, kemelut itu bermula apabila Menteri Besar mengeluarkan kenyataan pada awal pagi berhubung dakwaan mendapat persetujuan daripada empat Undang, namun perkara tersebut kemudiannya dipersoalkan apabila diminta membuktikan dakwaan berkenaan.

“Apa yang berlaku di Negeri Sembilan, ramai yang kadang-kadang terlepas tentang perkara itu. Kita kena faham bahawasanya kalau kita nak lihat di dalam istana, selalunya sekiranya ada statement-statement yang nak diberikan berkenaan dengan istana ini, kita ada pengelola, bentara dan segalanya. Tapi apabila ada satu peristiwa itu, menteri besarnya memberi statement pada pukul 2 pagi mengatakan ada empat orang Undang bersetuju,” katanya dalam Forum Sinar Harian “Berani Semuka”.

Razlan berkata, keadaan menjadi semakin rumit apabila dakwaan tersebut tidak dapat disokong dengan dokumen yang diminta sebelum empat Undang sendiri mengeluarkan pendirian mereka.

“Apabila dituntut untuk menunjukkan minit mesyuarat dan segala-galanya, perkara itu tak berlaku. Dan sampailah Undang yang empat ini bersabda… bersabda untuk hilang kepercayaan dan juga minta Menteri Besar untuk meletakkan jawatan. Inilah perkara yang bagi pandangan saya menjadikan konflik yang paling besar di dalam kita untuk membuat keputusan,” katanya.

Beliau mendakwa UMNO dan Barisan Nasional sentiasa mengambil pendekatan berhati-hati dalam menguruskan hubungan dengan institusi diraja, termasuk melalui rundingan bagi mengelakkan sesuatu isu menjadi lebih besar.

“Tetapi apabila Menteri Besar gagal untuk menguruskan perkara-perkara ini sampai mencalar institusi Raja-Raja itu, Barisan Nasional, UMNO ini, dia tak boleh jauh sangat dengan istana ini. Memang kita mengangkat istana itu sebagai kita punya nombor satu di dalam Perlembagaan kita dan agama Islam dan orang Melayu. So itu perkara yang kita kena pegang,” katanya.

Razlan turut menjelaskan bahawa tindakan UMNO ketika itu bukan untuk menjatuhkan kerajaan negeri, sebaliknya hanya mahu pertukaran Menteri Besar.

“Bila benda terjadi, kita kena ambil langkah untuk bagaimana memberikan kenyataan… dan juga menarik sokongan daripada Menteri Besar. So bila kita dah tarik sokongan Menteri Besar, Datuk Seri Zahid dah mengatakan kita akan terus menyokong kerajaan Negeri Sembilan. Empat belas-empat belas ini akan menyokong, tapi tak nak MB. Kita nak MB ditukar,” katanya.

Mengulas dakwaan bahawa UMNO menjadi punca kepada krisis politik di Johor, Razlan menegaskan pembubaran DUN Johor dibuat selepas tempoh pentadbiran yang telah matang dan menolak tuduhan bahawa BN mengkhianati kerajaan negeri.

“Johor ni senang. Johor ni kalau orang cakap Johor ni tidak matang pada ketika untuk berbubar, salah. Sebab dah empat tahun tiga bulan. Ini adalah masa yang matang untuk kita bubarkan bila-bila masa pun… Jadi bila kita pula dituduh dekat Johor tu memperkianat, ini adalah salah… Jangan senang-senang menuduh kami ini pengkhianat,” katanya.

Penjelasan Razlan secara tidak langsung menjelaskan pendirian UMNO behubung konflik Adat di Negeri Sembilan. Namun Menteri Besar kemudiannya mengusulkan cadangan pembubaran DUN kepada Yang Dipertuan Besar dan seterusnya DUN terbubar. @politik.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share