
KUALA LUMPUR | 31 Julai 26 – Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mempersoalkan tindakan Jabatan Audit Negara (JAN) yang memberikan Sijil Audit Bersih kepada Penyata Kewangan Tabung Haji (TH) bagi tahun kewangan 2017 walaupun terdapat isu material yang dibangkitkan.
Menurut laporan itu, JAN memberikan Pendapat Tanpa Teguran dengan “Emphasis of Matter” selepas mengambil kira kesan terhadap persepsi pendeposit sekiranya Pendapat Berteguran dikeluarkan.
Bagaimanapun, RCI berpendapat pertimbangan tersebut berada di luar skop audit.
“Jelas bahawa JAN tidak tegas dalam pengauditan penyata kewangan LTH.”
“Sepatutnya untuk tahun kewangan 2017, JAN tidak sepatutnya memberi Sijil Audit Bersih.” Demikian menurut laporan RCI.
Menurut laporan itu lagi, tanpa Sijil Audit Bersih, TH tidak sepatutnya mengisytiharkan agihan keuntungan tahunan 4.50 peratus dan hibah haji 1.75 peratus yang melibatkan perbelanjaan sehingga RM2.75 bilion bagi tahun kewangan 2017.
RCI turut menegaskan JAN sepatutnya menegur pengisytiharan hibah yang disifatkan terlalu tinggi dan tidak selaras dengan kemampuan kewangan TH.
“JAN seharusnya membuat teguran mengenai pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang terlalu tinggi yang bertentangan dengan kemampuan kewangan LTH.”. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.