RESET Bukan Parti Baharu, Tetapi Gerakan Penyatuan Rakyat — Pemimpin Akar Umbi

KUALA LUMPUR | 14 Mei 26 — Spekulasi mengenai penubuhan parti politik baharu yang dikaitkan dengan Hamzah Zainudin terus hangat diperkatakan, namun beberapa pemimpin akar umbi tampil menegaskan bahawa gerakan RESET lebih bersifat platform penyatuan berbanding usaha mewujudkan sebuah parti baru.

Penggerak RESET Lembah Pantai, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, beliau berpandangan tidak mungkin Hamzah akan menubuhkan parti baharu menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Sebaliknya, beliau melihat RESET sebagai satu gerakan politik dan pemikiran yang bertujuan menyatukan kekuatan orang Melayu serta rakyat yang mahukan kestabilan negara.

“Ramai salah faham dan menganggap RESET itu sebuah parti baru. Hakikatnya, RESET lebih kepada gerakan penyatuan pemikiran dan penyegaran semula hala tuju politik orang Melayu serta rakyat yang mahukan kestabilan negara,” katanya ketika dihubungi.

Menurut beliau, dalam keadaan politik negara yang semakin bercelaru ketika ini, gerakan seperti RESET perlu dilihat sebagai usaha menghimpunkan kekuatan politik, bukannya memecah-belahkan orang Melayu.

Katanya, rakyat khususnya orang Melayu tidak memerlukan lebih banyak perpecahan politik, sebaliknya memerlukan platform yang mampu menyatukan suara dan mengembalikan keyakinan terhadap kepimpinan negara.

“Saya melihat isu parti baru ini lebih banyak persepsi dan propaganda politik daripada realiti sebenar,” katanya lagi.

Sementara itu, mantan Ketua Bahagian BERSATU Dungun, Datuk Abdul Aziz Ismail pula berpandangan usaha membentuk “rumah baru” politik tidak boleh dianggap sebagai perpecahan.

Beliau mengimbau pengalaman politik era Semangat 46 yang akhirnya kembali bergabung dengan United Malays National Organisation (UMNO), namun menegaskan gerakan semasa mempunyai prinsip dan pendekatan tersendiri.

“Ini bukan perpecahan, ini perjalanan untuk mengemas dan menyusun semula,” katanya kepada politiko.

Menurut Abdul Aziz, beliau percaya Hamzah mempunyai kemampuan menyatukan parti-parti Melayu sekiranya diberi peranan memimpin gerakan tersebut.

“Saya nampak kalau Dato’ Seri Hamzah sebagai presiden rumah baru, insya-Allah beliau boleh buat penyatuan dan mana-mana parti Melayu boleh bersatu,” katanya.

Beliau turut mendakwa Hamzah sebelum ini pernah berusaha membuka ruang perpaduan dengan UMNO ketika menjadi Timbalan Presiden Bersatu, bukan untuk memecahkan parti sendiri.

Katanya, gaya kepimpinan Hamzah yang gemar berbincang sebelum membuat keputusan turut menjadi faktor beliau diyakini mampu memimpin gerakan penyatuan politik Melayu dengan lebih tersusun. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share