
PETALING JAYA | 6 Julai 26 – Kemelut peruntukan Ahli Parlimen yang dikaitkan dengan wakil rakyat mesra kem Rafizi Ramli kembali menjadi perhatian apabila Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung mendakwa baki RM3 juta peruntukan kawasan beliau tidak lagi disalurkan melalui wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat.
Lee dalam kenyataan di Facebook hari ini mendakwa akses beliau ke portal MyKhas telah disekat sejak penghujung Mei lalu sebelum Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan pada Julai bahawa baki peruntukan tersebut tidak lagi disalurkan melalui Ahli Parlimen Petaling Jaya.
Menurut beliau, persoalan utama yang perlu dijawab kerajaan ialah mengenai mekanisme baharu pengurusan dana tersebut selepas beliau menerima tangkap layar perbualan kumpulan WhatsApp Jawatankuasa Cabang PKR Petaling Jaya yang memaklumkan permohonan berkaitan kerja kecil dan sumbangan kewangan boleh dirujuk kepada Ketua Cabang PKR Petaling Jaya, Hee Loy Sian.
“Utk makluman semua, mulai sekarang permohonan ICU Parlimen Petaling Jaya utk kerja-kerja kecil & sumbangan kewangan boleh merujuk kpd saya,” demikian mesej yang dikongsikan Lee.
Lee mempersoalkan sama ada peruntukan Parlimen yang merupakan dana awam boleh diuruskan oleh pemimpin parti politik, sambil menegaskan rakyat berhak mengetahui siapa yang menguruskan baki RM3 juta tersebut, berdasarkan kuasa dan prosedur yang digunakan.
“Sejak bilakah dana rakyat boleh diserahkan kepada Ketua Cabang PKR?” soal beliau sambil mempersoalkan sama ada perubahan mekanisme penyaluran peruntukan itu mempunyai garis panduan atau pengumuman rasmi kepada rakyat Petaling Jaya.
Isu tersebut turut dikaitkan dengan beberapa Ahli Parlimen lain yang dilihat mempunyai hubungan rapat dengan bekas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli selepas beliau meninggalkan parti dan membentuk wadah politik baharu.
Selain Lee, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen sebelum ini turut membangkitkan isu sekatan akses MyKhas, manakala Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail pula menjadi perhatian selepas mendakwa berdepan isu sama.
Perkembangan itu mencetuskan persoalan sama ada tindakan terhadap akses peruntukan kawasan mempunyai kaitan dengan perkembangan politik selepas perpecahan dalam PKR atau sekadar perubahan pentadbiran.
Lee dalam kenyataannya turut meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberikan penjelasan sama ada mekanisme pengurusan dana tersebut mematuhi prinsip tadbir urus, integriti dan ketelusan.
Beliau menegaskan isu tersebut bukan berkaitan kepentingan peribadi seorang Ahli Parlimen, tetapi melibatkan hak rakyat untuk mengetahui bagaimana wang awam diuruskan.
“Kerajaan wajib memberikan jawapan yang jelas dan terbuka kepada rakyat,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.