RMK13: LRT Penang Paling Mahal Dalam Dunia, Dakwa NGO

KUALA LUMPUR, 9 Ogos 25 – Kerajaan didesak mendedahkan pecahan kos penuh projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang yang merupakan sebahagian daripada projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM) Dr. Armin Baniaz Pahamin berkata, kos projek yang kini dilaporkan meningkat daripada RM10 bilion kepada RM16 bilion disifatkan sebagai perbelanjaan yang luar biasa tinggi.

Pihaknya mendakwa, projek itu kini tergolong antara LRT paling mahal di dunia dengan kos kira-kira RM552 juta bagi setiap kilometer, mengatasi kos sistem metro bawah tanah di bandar-bandar maju dunia lain.

“Kenyataan rasmi kerajaan bahawa projek ini hanya akan menelan RM10 bilion ‘tanpa kerja penambakan’ membuktikan wujudnya ‘pembungkusan’ projek yang tidak perlu, dipacu bukan oleh keperluan pengangkutan awam tetapi oleh spekulasi hartanah dan agenda politik.

“Tambahan RM6 bilion yang diumumkan bagi projek itu tidak memberi nilai tambah kepada rakyat. Ia hanya memberi pulangan besar kepada pemaju yang mempunyai hubungan politik,” katanya dalam kenyataan.

Sedangkan, majoriti pembinaannya berbentuk jejambat tanpa komponen terowong besar, tetapi harganya melebihi projek Transit Aliran Massa (MRT) 2 dan MRT3 di Lembah Klang yang jauh lebih kompleks.

Beliau turut mempersoalkan tiada tender terbuka yang diumumkan  berhubung projek LRT Pulau Pinang berkenaan.

“Analisis kos faedah bebas juga tidak didedahkan selain tiada pemisahan jelas antara infrastruktur pengangkutan dan projek hartanah penambakan laut,” katanya.

Selain itu, pihak turut mempersoalkan mengapa projek itu perlu diutamakan berbanding keperluan pengangkutan kritikal di Lembah Klang; Johor; Sabah dan Sarawak. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share