Rombakan Kabinet: Ketua Pembangkang Gesa Anwar Jelaskan Pelantikan Kementerian Strategik

KUALA LUMPUR, 17 DIS 25 — Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin, menuntut penjelasan daripada Perdana Menteri mengenai rombakan Kabinet baru-baru ini, terutamanya pelantikan kementerian yang dianggap strategik dan berpengaruh.

Menurut Hamzah, rakyat kini curiga terhadap motif sebenar rombakan, sama ada ia dilakukan akibat tekanan politik atau sekadar untuk habuan kuasa.

“Rakyat berhak bertanya, adakah rombakan Kabinet ini akibat tekanan politik atau habuan kuasa?” tegas beliau.

Beliau menekankan kerisauan rakyat bertambah apabila kementerian-kementerian yang memainkan peranan penting dalam kerajaan tempatan dan wilayah kini dikuasai oleh satu parti yang sebelum ini lantang memperjuangkan pilihan raya kerajaan tempatan.

Selain itu, Hamzah membangkitkan isu Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, yang menjadi tunjang ekonomi, khususnya bagi PKMS bumiputera.

“Perubahan kementerian strategik ini perlu diperjelaskan secara telus, khususnya dalam pengukuhan ekonomi bumiputera.”

Beliau turut mempersoalkan tindakan mengekalkan menteri yang prestasi dan tindak-tanduknya dipersoalkan secara terbuka oleh rakyat, serta pelantikan individu baru yang latar belakangnya masih dipertikai.

Hamzah menegaskan, rombakan Kabinet bukan sekadar menukar wajah, tetapi mestilah mencerminkan keupayaan kerajaan menangani kegagalan sedia ada.

“Ia mestilah menzahirkan keupayaan kerajaan menjawab kegagalan sedia ada, bukannya semata-mata demi untung secupak hingga rugi segantang kerana yang menanggung kesannya adalah rakyat dan negara.”

Terdahulu, pelbagai pihak turut menyuarakan pandangan kritikal mengenai rombakan ini. UMNO menyatakan bahawa rombakan ini membuat rakyat keliru tentang hala tuju kerajaan, manakala PAS menekankan bahawa kepentingan Melayu dan bumiputera tidak boleh diabaikan dalam pelantikan kementerian strategik. Manakala NGO Ummah pula menyeru agar perubahan Kabinet berpaksikan kepentingan rakyat, bukan agenda politik sempit. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share