
KUALA LUMPUR, 11 DIS 25 — Perikatan Nasional (PN) menegaskan komitmen untuk terus menjadi suara semak imbang yang konsisten, tegas dan berprinsip dalam memastikan kepentingan rakyat menjadi keutamaan pentadbiran negeri Melaka.
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub, berkata walaupun masa perbahasan Bajet Negeri 2026 amat terhad, pembangkang tetap berjaya membawa isu-isu utama yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.
Antara isu yang dibangkitkan ialah tekanan kos sara hidup, keperluan ketelusan dalam pengurusan GLC, keberkesanan perbelanjaan kerajaan serta hasil sebenar program yang diumumkan.
“Bajet tidak boleh dibina atas slogan semata-mata. Ia mesti berpaksikan data, keperluan rakyat dan disiplin kewangan yang telus,” tegasnya.
Beliau menjelaskan bahawa peranan pembangkang bukanlah untuk menentang secara membuta tuli, tetapi memastikan kerajaan negeri bertanggungjawab, berbelanja secara berhemah dan membuat keputusan berdasarkan kepentingan rakyat.
“Semak imbang bukan untuk menentang, tetapi untuk memastikan rakyat menerima khidmat terbaik dan negeri ditadbir dengan lebih bertanggungjawab,” katanya.
Dr Yadzil menegaskan bahawa PN akan terus memantau setiap dasar, menilai keberkesanan program dan memastikan setiap sen wang rakyat dibelanjakan untuk manfaat optimum kepada penduduk Melaka. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.