
JOHOR BAHRU | 6 Julai 26 – Datuk Seri Saifuddin Abdullah menggesa masyarakat menilai seseorang pemimpin berdasarkan rekod pencapaian dan sumbangan kepada negara, bukannya usia atau tempoh mereka berada dalam politik.
Berucap pada Himpunan RESET Johor, beliau berkata tanggapan yang melabel kepimpinan Gerakan RESET sebagai “orang lama” atau “antik” merupakan gambaran yang tidak mencerminkan kemampuan sebenar mereka.
“Ada orang kata gerakan kita ini baharu. Ada pula yang melabel kita sebagai orang-orang tua atau antik. Tetapi ini bukan antik sebarang antik,” katanya.
Menurut Saifuddin, pengalaman adalah satu kelebihan kerana ia dibina melalui rekod pentadbiran dan pencapaian yang boleh dinilai oleh rakyat.
Beliau memberi contoh bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, yang disifatkannya berjaya mengangkat pembangunan Melaka sehingga menjadi antara destinasi pelancongan utama negara.
Katanya, sumbangan sedemikian membuktikan pemimpin berpengalaman mempunyai nilai yang tidak sepatutnya dipandang rendah semata-mata kerana faktor usia.
Dalam masa sama, beliau menyindir pihak yang sering memperlekeh kepimpinan RESET tanpa mempunyai rekod pencapaian yang setanding.
“Yang dikutuk itu ada rekod membangunkan negeri? Yang mengkritik pula, apa yang dia hidupkan?” katanya.
Saifuddin berkata, Gerakan RESET menghimpunkan pemimpin yang mempunyai pengalaman dalam pentadbiran dan penggubalan dasar, sekali gus menawarkan alternatif yang berpaksikan pengalaman serta rekod kepada rakyat.
Beliau turut mengingatkan bahawa perubahan politik tidak semestinya perlu dipimpin oleh wajah baharu semata-mata, sebaliknya memerlukan kepimpinan yang terbukti mampu mentadbir, membuat keputusan dan menyelesaikan masalah rakyat. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.