
KUALA LUMPUR | 2 Julai 26 – Mantan Ketua Bahagian Bersatu Hang Tuah Jaya, Mohd Azrudin Md Idris mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta pendirian kepimpinan Bersatu Melaka susulan pengakuan seorang saksi pendakwa dalam perbicaraan kes Datuk Wan Saiful Wan Jan yang mengakui menerima pelbagai imbuhan daripada kontraktor.
Dalam satu kenyataan media hari ini, Mohd Azrudin berkata saksi pendakwa, Datuk Hishamudin Abdul Karim, mengakui di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menerima sekurang-kurangnya RM150,000, bayaran bulanan RM5,000 serta sebuah kereta Lexus sebagai imbuhan bagi membantu kontraktor mendapatkan projek.
Menurut beliau, Hishamudin turut mengakui bahawa semua bayaran tersebut berkait dengan usaha menggunakan pengaruh politik untuk membantu kontraktor memperoleh projek.
“Beliau juga mengakui menggunakan kedudukannya sebagai seorang ahli politik yang dikenali ramai dalam urusan mendapatkan projek,” katanya.
Selain itu, Mohd Azrudin berkata saksi berkenaan turut mengakui tidak pernah membayar cukai pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sejak tahun 2018.
Berikutan pengakuan tersebut, beliau mempersoalkan mengapa individu yang membuat pengakuan sedemikian tidak didakwa oleh SPRM, sebaliknya dipanggil sebagai saksi pendakwa.
“Pengakuan terbuka di mahkamah ini menimbulkan persoalan serius. Mengapa individu yang mengakui menerima imbuhan berkaitan projek dan menggunakan pengaruh politik untuk membantu mendapatkan projek tidak didakwa oleh SPRM, sebaliknya dijadikan saksi pendakwa?
“Adakah SPRM memilih-milih dalam membuat pendakwaan?” katanya.
Dalam kenyataan sama, Mohd Azrudin turut menggesa Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Melaka, Datuk Dr Radzi Jidin, menjelaskan pendirian parti terhadap kedudukan Hishamudin yang kini memegang jawatan Ketua Bahagian Bersatu Kota Melaka dan Ketua Penerangan Bersatu Melaka.
Beliau berkata, pengakuan yang dibuat di mahkamah itu telah mencetuskan persoalan terhadap integriti dan kredibiliti pemimpin berkenaan.
“Adakah Bersatu masih mahu mengekalkan Datuk Hishamudin sebagai Ketua Bahagian Bersatu Kota Melaka dan Ketua Penerangan Negeri Melaka?
“Bukankah pengakuan di mahkamah tersebut telah mencetuskan persoalan besar terhadap integriti dan kredibiliti seorang pemimpin Bersatu?” katanya.
Kenyataan Mohd Azrudin tersebut merujuk kepada pendedahan di mahkamah hari ini sewaktu peguambela Datuk Wan Saiful Wan Jan membuat pemeriksaan balas ke atas saksi pendakwaan ke-36, Datuk Hishammuddin Abdul Karim, yang juga Ketua Bahagian Bersatu Kota Melaka dalam kes Jana Wibawa yang sedang dibicarakan.
Pendakwaan ini dikendalikan oleh pasukan Timbalan Pendakwa Raya yang diketuai Dr Ifa Sirrhu Samsudin. Perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad bersambung September depan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.