Siapa Ganti Anwar Jika Pembangkang Berjaya? Soal Kadir Jasin

KUALA LUMPUR, 28 Jul 25 – Persoalan besar sekiranya kempen Turun Anwar pembangkang adalah siapa calon yang berkelayakan untuk menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri, kata wartawan veteran.

Datuk A Kadir Jasin berkata, Perikatan Nasional (PN) perlu segera menampilkan calon gabungan itu sekiranya desakan untuk Anwar berundur dilakukan berterusan.

“Asakan pembangkang dan pergerakan masyarakat sivil melalui protes ‘Turun Anwar’ berkemungkinan memaksa kerajaan mengadakan Pilihan Raya Umum lebih awal.

“Persoalannya, dengan siapakah mereka hendak ganti Anwar kalau usaha mereka berjaya. Mereka wajib nyatakan dengan sahih dan tegas calon perdana menteri mereka,” katanya, dalam hantaran media sosial.

Kadir juga berkata, pembangkang perlu meneruskan momentum himpunan yang berlangsung hujung minggu lalu sekiranya mereka benar-benar mahu Anwar berundur.

“Mencanai besi biar ketika panas. Jadi, kalau pembangkang serius memaksa Anwar turun, mereka perlu bertindak pantas dan bersiri-siri.

“Besi panas tidak menjadi keris kalau dicanai hanya sekali. Mereka perlu terus membina momentum terhadap kempen ‘Turun Anwar’,” kata Kadir.

Lebih-lebih lagi Anwar sendiri mencabar  pembangkang membawa usul undi tidak percaya di Parlimen.

“Apatah lagi apabila Anwar sendiri telah ‘mencabar’ mereka untuk berbuat demikian.

“Pada 27 Julai lepas, beliau berkata, beliau tidak menghalang sebarang perhimpunan atau kritikan terhadap kepimpinan beliau, termasuk tuntutan supaya beliau meletak jawatan asalkan dibuat secara demokratik, sama ada melalui pilihan raya atau usul undi tidak percaya di Parlimen,” kata Kadir.

Katanya, kelemahan Anwar adalah terlalu bergantung kepada teknokrat dan tokoh korporat yang terpisah daripada masyarakat umum dalam menyelesaikan masalah ekonomi yang  membebankan rakyat jelata sekarang.

“Mereka adalah elit yang berpaksikan untung dan rugi, cukai dan hasil. Soal rakyat jelata menderita bukan masalah mereka. Itu masalah ahli politik.

“Bagi mereka, kalau mereka berjaya mewujudkan fundamental ekonomi yang kukuh dan mendapatkan pengiktirafan agensi penarafan antarabangsa, tugas mereka telah terlaksana,” katanya.

Tegasnya, siapa pun pengganti Anwar, calon tersebut berhadapan cabaran utama dalam pengurusan ekonomi yang mampan dengan disertai oleh pengagihan kekayaan yang lebih saksama.

“Anwar pula mengalami “handicap” oleh sebab beliau dianggap tidak mempunyai pendidikan asas ekonomi yang mencukupi,” kata Kadir. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share