
KUALA LUMPUR, 19 Jul 25 – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan menggesa siasatan dilakukan terhadap individu yang didakwa terlibat dalam dokumen yang didakwa mengandungi minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) bocor.
Walaupun isu pelantikan ketua hakim selesai, Wan Saiful berkata, minit yang bocor itu mengandungi dakwaan serius mengenai integriti seorang hakim tersebut.
“Tindakan mesti diambil segera oleh pihak berkuasa untuk menyiasat isu integriti hakim itu untuk elak rakyat bertanya adakah dia layak duduk di kerusi hakim yang dia pegang sekarang.
“Jangan buru orang yang mendedahkan minit itu saja. Siasat juga kandungan minit itu,”
“‘Don’t kill the messenger,” tambah Wan Saiful dalam hantaran di Facebook.
Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebelum ini diumumkan sebagai Ketua Hakim Negara baharu, selepas kemelut itu berlarutan sejak beberapa lama.
Namun begitu terdapat pihak mengkritik pelantikan Wan Ahmad Farid kerana mempunyai latar belakang politik Umno.
“Saya bersetuju dengan pandangan bahawa jawatan-jawatan politik yang beliau pegang sebelum ini tidak seharusnya menjadi penghalang kepada pelantikan ini.
“Tidak ada masalah sebab itu jawatan dahulu dan dia telah lama bersara dari politik,” katanya.
Selain Wan Ahmad Farid, turut dilantik adalah Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan Datuk Azizah Nawawi sebagai Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak . @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.