SPRM Digesa Siasat Isu Konsesi Menara KL, Wan Saiful Persoal Sikap Berdiam Diri

KUALA LUMPUR, 3 Sep 25 – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mempersoalkan sikap berdiam diri Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu kontroversi penganugerahan konsesi Menara Kuala Lumpur (KL Tower).

Beliau berkata, isu itu bukan perkara kecil kerana ia melibatkan dakwaan kepentingan peribadi seorang pengarah syarikat penerima konsesi yang dikaitkan dengan anggota kanan Kabinet.

“Pendedahan Ahli Parlimen Gerik di Parlimen baru-baru ini adalah isu besar. Tetapi sehingga kini SPRM seolah-olah tidak melakukan apa-apa. Padahal mereka boleh sahaja mengarahkan pegawai membuat laporan untuk memulakan siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Saiful turut menyelar kerajaan yang didakwa mengelak daripada memberikan penjelasan berhubung persoalan mengenai konsesi itu ketika dibangkitkan di Dewan Rakyat.

Menurutnya, SPRM tidak seharusnya menunggu maklumat sulit kerana semua data berkaitan konsesi Menara KL boleh diakses menerusi rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Kenapa tiada tindakan hingga hari ini? SPRM jangan mengambil sikap berdiam diri tanpa sebarang ulasan,” tegasnya.

“Isu konsesi Menara Kuala Lumpur ini berkepentingan umum. Ia menuntut perhatian serius jemaah menteri dan SPRM. Mereka tidak boleh terus berdiam diri tanpa mengambil tindakan,” katanya.

Terdahulu, kontroversi berhubung pengambilalihan Menara Kuala Lumpur (Menara KL) tercetus apabila Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob menyoal kalau-kalau urus niaga itu merupakan satu lagi kes kronisme.

Merujuk kepada rekod syarikat, ahli parlimen PN itu turut mempersoalkan jika LSH Service Master Sdn Bhd (LSHSM) dianugerahkan konsesi tersebut kerana kaitan politik. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share