
KUALA LUMPUR, 2 Jul 25 – Ketua Hakim Negara yang juga wanita pertama menyandang jawatan tersebut, menyifatkan bukanlah suatu isu apabila perkhidmatannya tidak dilanjutkan untuk tempoh enam bulan lagi.
Beliau juga menyatakan tidak pernah menyesal sepanjang memegang jawatan tertinggi kehakiman itu kerana sudah melengkapkan perkhidmatan sebagai Ketua Hakim Negara.
“Jadi hakikat bahawa saya tidak disambung selama enam bulan lagi, itu bukan isu. Langsung tiada isu. Enam bulan tidak begitu signifikan jika dibandingkan dengan enam tahun,” katanya ketika ditemui pada hari terakhirnya sebelum bersara wajib di Istana Kehakiman.
Mengikut Perkara 125(1) Perlembagaan Persekutuan, tertakluk kepada peruntukan Fasal (2) hingga (5), seseorang hakim Mahkamah Persekutuan hendaklah memegang jawatan hingga mencapai usia 66 tahun dan boleh dilanjutkan enam bulan lagi atas perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Tengku Maimun dilantik pada 2 Mei 2019 juga mengakui tiada langsung penyesalan sepanjang tempoh berkenaan.
“Tidak, tidak sama sekali. Sebab anda tahu, menjadi Ketua Hakim Negara sebenarnya bukan impian saya.
“Jadi bila sesuatu itu bukan impian anda, tetapi anda berada di kedudukan itu selama enam tahun, dan saya sudah pun melengkapkan tempoh berkenaan, sama ada saya mencapai sesuatu yang besar atau tidak, seperti yang saya katakan, itu bukan untuk saya tentukan,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
“Tetapi apa yang boleh saya katakan, saya berkhidmat tepat selama enam tahun dari 2 Mei 2019 hingga 1 Julai 2025, satu hari kurang dari enam tahun. Dalam keadaan sihat, dan saya rasa itu sendiri adalah satu nikmat.
“Jadi harapan dan doa saya adalah supaya legasi (mengembalikan keyakinan awam terhadap institusi kehakiman) akan diteruskan oleh sesiapa sahaja yang menggantikan saya, dan juga secara amnya oleh semua hakim yang masih berkhidmat,” katanya. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.