
KUALA LUMPUR, 10 DIS 25 — Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong menyeru kerajaan pusat supaya menamatkan ketidakpastian dalam isu pengiktirafan UEC dengan mengeluarkan keputusan tetap dan tegas.
Beliau mendakwa sejak awal apabila tuntutan pengiktirafan mula dibangkitkan, kerajaan telah gagal “memuktamadkan perkara itu”, sebaliknya memberi syarat dan menangguh keputusan di bawah alasan “kajian menyeluruh”.
Menurut Teo, realitinya kerajaan sejak dulu tidak pernah benar-benar berniat mengiktiraf UEC.
“Kerajaan memberikan syarat tertentu, kemudian minta masa untuk kajian menyeluruh, dan kini mengatakan pengiktirafannya belum boleh dilakukan dalam masa terdekat. Hakikatnya kerajaan pusat sejak dahulu tidak pernah berhasrat mengiktiraf UEC,” katanya seperti dilaporkan The Merdeka Times.
Beliau menegaskan UEC bukan sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan dan tertakluk di bawah institusi swasta melalui kerangka undang-undang sedia ada (Akta Pendidikan 1996, Bahagian 16). Oleh itu, menurutnya, “ia tidak boleh sesekali diiktiraf”.
Lebih jauh, Teo menyifatkan tuntutan agar UEC diiktiraf sebagai usaha yang “tidak patriotik” dan berpotensi meruntuhkan semangat kebangsaan kerana peperiksaan itu menggunakan kurikulum dan bahasa pengantar yang berbeza daripada sistem kebangsaan.
Beliau menambah bahawa pengiktirafan UEC akan membuka pintu kepada pengiktirafan sijil-sijil lain di luar sistem nasional, satu langkah yang, menurutnya, boleh menjejaskan integriti sistem pendidikan negara secara keseluruhan.
Teo menyeru agar kerajaan berhenti “memberi harapan palsu” kepada pihak yang menuntut pengiktirafan dan sebagai gantinya, menyatakan pendirian jelas agar wacana ini tidak terus dibangkitkan setiap tahun. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.