
KUALA LUMPUR, 2 Jan 26 — Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan menyifatkan langkah Pemuda UMNO menganjurkan konvensyen khas sebagai tindakan berani, sekali gus mencerminkan kegelisahan akar umbi parti itu terhadap kedudukan UMNO dalam kerajaan yang didominasi Pakatan Harapan (PH).
Menurut beliau, ramai penyokong UMNO sebenarnya tidak selesa berada dalam kerajaan sedia ada, satu situasi yang disamakan dengan pengalaman BERSATU ketika bersama PH selepas PRU14, apabila perbezaan ideologi yang ketara akhirnya membawa kepada keputusan keluar daripada gabungan itu.
Wan Saiful berpandangan jajaran politik yang lebih selesa dan serasi ialah UMNO, BERSATU dan PAS berada dalam saf yang sama, memandangkan ketiga-tiga parti berkongsi banyak persamaan ideologi serta asas perjuangan.
Beliau mengingatkan bahawa BERSATU sendiri pernah bersetuju menyertai Muafakat Nasional (MN), termasuk wujudnya surat jemputan rasmi yang ditandatangani Presiden UMNO dan Presiden PAS, serta kelulusan Majlis Tertinggi BERSATU untuk menyertai gabungan tersebut.
Katanya, semangat MN perlu dihidupkan semula bagi mewujudkan satu payung besar parti-parti politik konservatif berteras falsafah kanan pertengahan, tanpa terikat kepada nama gabungan sama ada Muafakat Nasional, Perikatan Nasional atau jenama lain.
“Yang penting ialah semangat muafakat itu sendiri,” katanya, sambil berharap agenda penyatuan tersebut berjaya direalisasikan demi kestabilan politik negara.
Dalam masa sama, Wan Saiful mengingatkan BERSATU dan PAS supaya berhati-hati dengan usaha pihak tertentu yang cuba memecahkan hubungan kedua-dua parti melalui desakan meninggalkan PN, sambil menegaskan muafakat sebenar tidak akan tercapai selagi salah satu daripada tiga parti utama itu terpinggir daripada gabungan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.