Keputusan PAS untuk tidak membentangkan manifesto pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mungkin kelihatan sebagai isu kecil. Alasannya juga tampak mudah iaitu PAS hanya bertanding 11 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), justeru tidak bercadang membentuk kerajaan negeri.
Namun dalam politik, yang penting bukan sekadar apa yang diperkatakan. Lebih penting ialah mesej yang tersirat di sebaliknya.
Penjelasan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, sebenarnya menimbulkan satu persoalan yang lebih besar. Jika PAS masih benar-benar bergerak di bawah payung Perikatan Nasional (PN), mengapa isu manifesto diukur berdasarkan jumlah kerusi yang ditandingi PAS, bukannya kekuatan gabungan?
Bukankah manifesto sepatutnya datang daripada gabungan yang menawarkan diri sebagai alternatif kepada kerajaan?
Di sinilah timbul persoalan sama ada PN masih berfungsi sebagai sebuah gabungan politik, atau sekadar tinggal sebagai satu jenama yang belum dibubarkan secara rasmi.
Sepanjang sidang media tersebut, Tuan Ibrahim hampir keseluruhannya bercakap mengenai PAS. PAS bertanding 11 kerusi. PAS mahu menjadi semak dan imbang. PAS mempunyai tawaran di kawasan yang ditandingi. PAS mengeluarkan arahan kepada penyokong. Yang tidak kedengaran ialah naratif mengenai PN.
Lebih ketara lagi, hampir tiada langsung penekanan terhadap BERSATU sebagai rakan strategik dalam gabungan itu.
Dalam politik, pilihan bahasa sering mencerminkan perubahan strategi. Apabila sesebuah parti mula menonjolkan identitinya sendiri dan semakin kurang bercakap atas nama gabungan, ia lazimnya menandakan berlakunya perubahan dalam hubungan politik.
Perkembangan ini menjadi lebih menarik apabila PAS secara terbuka mengarahkan penyokongnya mengundi Barisan Nasional (BN) di kawasan yang tidak ditandingi PAS bagi menghalang kemenangan Pakatan Harapan (PH), khususnya DAP.
Ini bukan lagi strategi yang berteraskan pengukuhan PN.
Sebaliknya, ia menunjukkan PAS sanggup membentuk kerjasama taktikal dengan UMNO apabila keadaan memerlukan. Musuh utama yang mahu ditewaskan ialah PH, manakala bentuk kerjasama menjadi perkara kedua.
Pendekatan sebegini memberi gambaran bahawa PAS kini semakin pragmatik. Keutamaan parti itu bukan lagi mempertahankan struktur gabungan, tetapi mencari formula paling berkesan untuk mencapai matlamat politiknya.
Dalam konteks itu, kedudukan BERSATU menjadi tanda tanya.
Jika sebelum ini PAS dan BERSATU tampil sebagai dua tonggak utama PN, PRN Johor memperlihatkan PAS semakin selesa bergerak dengan strategi sendiri. Malah, hujah bahawa PAS tidak memerlukan manifesto kerana hanya bertanding 11 kerusi secara tidak langsung memperlihatkan parti itu tidak lagi menjadikan PN sebagai platform utama menawarkan dasar kepada rakyat.
Ia berbeza dengan semangat awal penubuhan PN yang meletakkan gabungan itu sebagai alternatif nasional kepada Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.
Sudah tentu, terlalu awal untuk mengatakan PAS dan BERSATU telah berpisah. Tiada pengumuman rasmi dibuat. Tiada keputusan organisasi yang membubarkan hubungan tersebut. Struktur PN juga masih wujud.
Namun sejarah politik menunjukkan bahawa sesebuah gabungan jarang berpecah melalui sidang media. Ia biasanya bermula dengan perubahan strategi, penyelarasan pilihan raya yang longgar, bahasa politik yang berubah dan keutamaan baharu yang tidak lagi dikongsi bersama.
Petunjuk-petunjuk itu kini semakin jelas. PAS bercakap sebagai PAS, bukan sebagai PN. PAS juga menyusun strategi berdasarkan kepentingan partinya malah PAS secara tersirat bekerjasama secara taktikal dengan BN apabila mengarahkan ahli-ahlinya mengundi BN di kawasan PN tidak bertanding.
Langkah ini jika berulang dalam pilihan raya akan datang di Melaka, Negeri Sembilan atau akhirnya Pilihan Raya Umum Ke-16, maka persoalannya sudah jelas, salah satu parti akan bawa haluan sendiri. Kini, hanya masa akan menentukannya. @analitiko
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.