Tahanan Rumah Bersyarat: Pejuang Desak Peguam Negara, Menteri KDN Beri Penjelasan

KUALA LUMPUR | 19 Sep 26 – Ketua Penerangan Pejuang, Rafique Rashid, mendesak Peguam Negara dan Menteri Dalam Negeri tampil memberikan penjelasan secara telus berhubung isu tahanan rumah bersyarat bagi memastikan pelaksanaannya tidak menimbulkan persoalan mengenai keadilan dan kesamarataan di sisi undang-undang.

Menurut Rafique, kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong berkaitan Lembaga Pengampunan adalah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan perlu dihormati semua pihak.

Namun katanya, isu tahanan rumah perlu dibezakan daripada pengampunan mutlak kerana sehingga kini tidak terdapat peruntukan khusus atau akta nyata yang memperuntukkan hukuman berbentuk tahanan rumah bagi pesalah.

“Sehingga hari ini, tiada satu pun peruntukan khusus atau akta nyata di dalam sistem perundangan negara yang memperuntukkan hukuman berbentuk tahanan rumah untuk mana-mana pesalah,” katanya.

Rafique berkata peruntukan sedia ada yang boleh dikaitkan dengan perkara itu termasuk Seksyen 3 Akta Penjara 1995 berhubung kuasa Menteri Dalam Negeri mengisytiharkan sesuatu kawasan atau premis sebagai penjara.

Beliau turut merujuk Seksyen 43 akta sama mengenai kuasa memberi lesen pelepasan kepada banduan, yang menurutnya perlu dilaksanakan secara adil dan berlandaskan prinsip keadilan.

Sehubungan itu, Rafique mempersoalkan apakah syarat ketat yang melayakkan seseorang mendapat tahanan rumah, termasuk proses tapisan serta mekanisme yang digunakan.

“Rakyat tidak mahu melihat tahanan rumah bersyarat ini dikenakan atau diguna pakai semata-mata demi memuaskan hati kelompok elit politik tertentu,” katanya.

Beliau berkata persoalan utama ialah memastikan pelaksanaan tahanan rumah tidak menimbulkan persepsi wujudnya dwi-standard dalam penguatkuasaan undang-undang.

Rafique turut mengingatkan bahawa Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan menjamin kesamarataan di sisi undang-undang serta hak mendapat perlindungan dan layanan undang-undang yang sama rata.

Pada masa sama, beliau menegaskan rakyat tidak seharusnya dihalang daripada mempersoalkan pelaksanaan undang-undang apabila wujud perkara yang dianggap tidak jelas.

“Menutup mulut rakyat daripada mempersoalkan pelaksanaan undang-undang adalah satu bentuk kezaliman pentadbiran. Hak bersuara dan keluh-kesah masyarakat wajib didengar,” katanya.

Rafique turut menegaskan sistem kehakiman tidak wajar dipersalahkan dalam isu berkenaan kerana tugas kehakiman selesai selepas mahkamah melupuskan sesuatu kes di peringkat perbicaraan atau rayuan.

“Tugas Peguam Negara dan Menteri Dalam Negeri juga adalah untuk menerangkan bahawa sistem Kehakiman negara ini tidak wajar dipersalahkan. Tugas kehakiman telah selesai sebaik sahaja mahkamah sama ada pada tahap perbicaraan mahupun rayuan melupuskan mana-mana kes,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa persoalan berhubung pelaksanaan tahanan rumah perlu dijelaskan bagi mengelakkan kekaburan undang-undang dan persoalan yang lebih besar pada masa akan datang.

“Keadilan bukan sahaja perlu dijalankan, tetapi ia mesti dilihat telah dijalankan,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share