Tiga Bahagian Bersatu Pahang Lulus Usul Konsensus Nasional Baharu

KUALA LUMPUR, 7 Jul 25 – Sekurang-kurangnya tiga bahagian Bersatu di Pahang meluluskan usul mengangkat gagasan Konsensus Nasional Baharu dibawa Timbalan Presiden Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai teras perjuangan Perikatan Nasional (PN).

Bersatu Indera Mahkota, Kuantan, dan Paya Besar sebulat suara mengangkat dan menerima usul tersebut ketika mesyuarat agung tahunan mereka semalam.

“Indera Mahkota mengusulkan supaya cadangan dibangunkan ‘Konsensus Nasional Baru’ yang menyatupadukan rakyat Malaysia pelbagai kaum, agama dan wilayah, yang berdasarkan tiga batu asas utama, iaitu matlamat disepakati, kemakmuran bersama dan kerajaan penyayang diangkat menjadi salah satu teras perjuangan PN dan sebahagian daripada manifestonya bagi PRU16.

“Tiga bahagian dirasmi serentak, sebagai tuan rumah, dalam ucapan aluan, saya cadang diangkat konsenses nasional baru. Ia kemudian saya sebut ketika sidang media, ketiga-tiga bahagian lulus usul ini di samping usul-usul lain,” kata Saifuddin.

Ketua bahagian Bersatu Indera Mahkota itu berkata, keperluan mengangkat usul itu berikutan negara sedang berhadapan dengan bertimbun masalah yang membebankan majoriti rakyat.

“Serta perlu mendepani cabaran-cabaran masa depan yang lebih kompleks, yang memerlukan reset politik yang baharu, iaitu yang diterima oleh majoriti, dihormati, inklusif dan adil,” katanya.

Ahli Parlimen Indera Mahkota itu antara lain berkata, usul lain yang dipersetujui bahagian tersebut termasuklah membatalkan Program Latihan Khidmat Negara 3.0 (PLKN) berikutan kosnya yang tinggi.  

“Dana yang telah diperuntukkan itu disalurkan khususnya untuk meningkatkan program-program pendidikan yang sedia ada di Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi, dan Kementerian Belia dan Sukan,” katanya.

Selain itu, usul berkaitan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2026-2035’ yang sedang digubal oleh KPM dan ‘Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2025-2035’ yang sedang digubal oleh KPT hendaklah digubal melalui perundingan dengan pelbagai pemegang taruh, termasuk parti politik secara rentas-parti. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share