Timbang Tambah Bantuan Pelajar, Kata Tuan Ibrahim

Foto : Facebook Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR, 30 APR 25 – Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengharapkan kerajaan negeri Pahang dapat menambah bantuan pendidikan buat anak negeri yang belajar di luar negara, khususnya di Jordan disebabkan peningkatan kos sara hidup di sana.

Tuan Ibrahim berkata, pihaknya mengharapkan hubungan baik antara universiti di Jordan dan Pahang dapat dipererat melalui penganugerahan ijazah kehormat kepada Menteri Besar Pahang Datuk Wan Rosdy.

“Penganugerahan ini diharap dapat mempererat hubungan dua hala antara universiti-universiti di Jordan dan  Pahang dalam pelbagai bidang kursus pendidikan, di samping membuka lebih banyak ruang kerjasama yang bermanfaat, khususnya dalam usaha meningkatkan penghantaran lebih ramai anak-anak Pahang melanjutkan pengajian ke Jordan,” kata Tuan Ibrahim.

Adun Cheka itu berkata, kerajaan negeri Pahang juga boleh memain peranan membuka ruang dan menawarkan peluang pendidikan kepada rakyat Jordan.

“Kerajaan Pahang juga dicadangkan untuk mengambil peluang daripada hubungan baik ini dengan membuka ruang dan menawarkan peluang pendidikan di negeri Pahang kepada rakyat Jordan, khususnya di institut-institut pendidikan yang terdapat di negeri ini.

“Pada masa yang sama, saya juga memohon agar kerajaan mempertimbangkan kenaikan bantuan pendidikan memandangkan para pelajar kini menghadapi kesukaran akibat kos sara hidup yang semakin tinggi di Jordan,” katanya

Wan Rosdy baru-baru ini dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Ekonomi Islam dan Perbankan daripada Universiti Yarmouk, Jordan. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share