
KUALA LUMPUR, 14 Sept 2025 – Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan cadangannya supaya bahasa Mandarin dan Tamil diperkenalkan di sekolah kebangsaan adalah bertujuan memperkukuh perpaduan nasional.
Menurut beliau, penguasaan asas bahasa ibunda masyarakat lain mampu mengikis rasa syak wasangka dan membina persefahaman lebih erat antara kaum.
“Bahasa Mandarin dan Tamil boleh dijadikan subjek pilihan di sekolah kebangsaan, bukan wajib. Tujuannya jelas – supaya pelajar pelbagai kaum lebih mudah berkomunikasi dan memahami antara satu sama lain,” katanya semasa di Muktamar PAS, Kedah.
Tuan Ibrahim menolak kritikan yang menyarankan PAS terlebih dahulu melaksanakan pengajaran bahasa berkenaan di prasekolah Pasti, dengan menegaskan isu yang diketengahkan adalah bersifat dasar dan menyentuh kepentingan kebangsaan.
Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa bahasa Melayu mesti terus kekal sebagai bahasa kebangsaan dan asas utama perpaduan, manakala penguasaan bahasa lain hanya sebagai nilai tambah untuk integrasi masyarakat.
Cadangan itu mencetuskan reaksi daripada Ahli Parlimen DAP Kepong, Lim Lip Eng, yang mempersoalkan kesungguhan PAS dalam pelaksanaannya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.