
SEREMBAN | 13 Julai 26 – PAS memberi bayangan bahawa rundingan kerjasama dengan UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kini berada pada peringkat akhir, termasuk kesediaan parti itu menerima calon UMNO sebagai Menteri Besar sekiranya persefahaman berjaya dimuktamadkan.
Presiden PAS berkata, perbincangan antara kedua-dua pihak sedang berlangsung dan menunjukkan perkembangan yang amat positif.
“Kita sedang usaha kerjasama. Perbincangan yang terbaru sedang berjalan dan sangat positif,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Makan Malam Perdana PAS Negeri Sembilan.
Menurut beliau, asas kerjasama itu sebenarnya telah bermula sejak usaha mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri melalui Akuan Bersumpah (SD) ketika Perikatan Nasional (PN) cuba membentuk kerajaan.
Katanya, ketika itu dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu menarik balik SD masing-masing, namun wakil UMNO tidak berbuat demikian, sekali gus membuka ruang kepada kerjasama yang berterusan sehingga kini.
Mengulas soal pembahagian kerusi, beliau berkata perkara itu masih dirundingkan dan akan diputuskan berdasarkan kewajaran serta kekuatan setiap parti.
“UMNO sudah mempunyai 14 kerusi. Baki kerusi daripada PN akan dibincangkan bersama. Keputusan muktamad mungkin hanya diketahui menjelang malam penamaan calon,” katanya.
Beliau turut menegaskan PAS tidak mempunyai sebarang halangan sekiranya jawatan Menteri Besar diberikan kepada UMNO, dengan syarat kepimpinan Negeri Sembilan terus diterajui oleh pemimpin Melayu-Islam.
“Soal jawatan Menteri Besar, PAS tidak ada masalah. Yang penting Islam dan Melayu memimpin Negeri Sembilan,” katanya.
Mengenai penggunaan lambang pada PRN nanti, beliau berkata keputusan sama ada menggunakan logo PAS atau Perikatan Nasional masih belum dimuktamadkan kerana ia masih menjadi sebahagian daripada rundingan.
Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 akan memasuki fasa penting apabila Hari Penamaan Calon ditetapkan pada 18 Julai, diikuti pengundian awal pada 28 Julai, sebelum hari pengundian pada 1 Ogos 2026. Pilihan raya itu melibatkan kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan bakal menentukan pembentukan kerajaan negeri yang baharu.
Kemelut politik Negeri Sembilan bermula pada 27 April 2026 apabila kesemua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO-Barisan Nasional (BN) mengumumkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, sekali gus menarik sokongan terhadap kerajaan negeri. UMNO Negeri Sembilan menjelaskan keputusan itu dibuat susulan hilangnya keyakinan terhadap pentadbiran Aminuddin, khususnya berkaitan pengendalian isu melibatkan institusi adat negeri.
Susulan penarikan sokongan itu, krisis politik negeri berlarutan selama lebih sebulan apabila usaha membentuk kerajaan baharu gagal memperoleh majoriti yang mencukupi. Pada 4 Jun 2026, Aminuddin mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Beliau berkata pembubaran DUN merupakan jalan terbaik untuk menamatkan ketidaktentuan politik dan mengembalikan mandat kepada rakyat selepas kerajaan negeri kehilangan sokongan yang diperlukan untuk mentadbir dengan stabil. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.