
KUALA LUMPUR, 21 NOV 25 – Presiden Putra, Datuk Ibrahim Ali memberi amaran keras bahawa slogan “Sabah First, Sarawak First” merupakan ancaman kepada keutuhan negara dan boleh menjerumus Malaysia ke ambang perpecahan.
Menurut beliau, Malaysia bukan akan jatuh melalui perang atau kudeta, tetapi melalui pemimpin yang “membuka pintu runtuhan perlahan-lahan setiap hari tanpa sesiapa sedar”.
“Sabah First, Sarawak First adalah ayat paling berbahaya sejak 1963. Ini bukan suara hak atau maruah. Ini adalah struktur negara yang sedang retak menanti pecah,” tegasnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ibrahim berkata, apabila wilayah seperti Sabah dan Sarawak diasak dengan slogan kenegerian yang menolak Semenanjung atau “orang luar”, ia mengundang kesan jangka pendek dan jangka panjang terhadap masa depan Bangsa Malaysia.
“Sabah dan Sarawak miskin bukan kerana Kuala Lumpur tetapi kerana elit atau pemerintah negeri itu sendiri. Kalau mereka benar-benar ‘First’, mengapa mereka menjadi juara kemiskinan?” soal beliau.
Beliau menyelar pendekatan kerajaan yang gagal membanteras kleptokrasi di bumi Borneo dan menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai gagal membina negara tetapi mewariskan “kebencian” yang mendalam.
“Anwar tunduk kepada Sabah dan Sarawak bukan kerana bumiputera, tetapi kerana takut hilang kerusi… takut kehilangan sokongan Borneo,” dakwanya.
Ibrahim mendakwa Malaysia kini menuju ke arah “Confederation” dan bukannya federalisme yang kukuh, di mana kawasan seperti Kuching dan Sabah sudah mula melaksanakan dasar sendiri secara berasingan.
“Apabila Sabah mengawal minyak sepenuhnya, Sarawak gas sepenuhnya, Johor sempadan imigresen, Pulau Pinang autonomi fiskal… apa tinggal untuk negara? Bendera? Lagu? Sejarah?” katanya.
Beliau menyeru pengundi Sabah supaya melihat PRN ke-17 bukan sekadar pilihan raya kedudukan ketua menteri tetapi sebagai referendum kewujudan Malaysia.
“Jika Sabah memilih berdasarkan semangat kenegerian berlebihan, ia akan merebak seperti barah ke seluruh negara,” tambahnya.
Ibrahim menegaskan satu sahaja jalan keluar iaitu “Malaysia First”,iaitu bukan negeri dahulu, tetapi negara dahulu.
“Jika 13 negeri jadi 13 negara kecil, Malaysia tamat tanpa sebutir peluru pun dilepaskan. Jika kita terus diam hari ini, esok jangan menyesal,” tambahnya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.