
KUALA LUMPUR | 1 Julai 26 – Ketua Penerangan Parti Wawasan Negara, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa keputusan membatalkan Sambutan Hari Peneroka FELDA 2026 Peringkat Negeri Johor merupakan satu pengkhianatan terhadap warga peneroka.
Menurut beliau, peneroka FELDA di Johor sebelum ini dikejutkan dengan pembatalan sambutan yang dijadual berlangsung pada 20 dan 21 Jun lalu di FELDA Ulu Belitong, Kluang.
Katanya, tindakan itu mengecewakan ramai peneroka yang menantikan pengumuman dan inisiatif daripada kerajaan sempena sambutan berkenaan.
Wan Fayhsal berkata, Kerajaan Negeri Johor pada 17 Jun telah dimaklumkan oleh FELDA Negeri Johor bahawa program itu diarahkan untuk dibatalkan, namun persoalan mengenai pihak yang mengeluarkan arahan tersebut hanya terjawab selepas sesi Dewan Rakyat, semalam.
“Melalui pertanyaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin di Parlimen, telah terjawab bahawa arahan pembatalan itu datang daripada Pejabat Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut mempertikaikan alasan yang diberikan kerajaan bahawa pembatalan dibuat bagi mengelakkan penyalahgunaan jentera kerajaan ketika musim pilihan raya.
Menurutnya, alasan itu tidak munasabah kerana sambutan tersebut telah dirancang lebih awal sebelum Pilihan Raya Negeri Johor diputuskan, malah tarikh penganjurannya juga bukan dalam tempoh rasmi kempen.
“Tidak timbul isu penyalahgunaan jentera kerajaan untuk tujuan pilihan raya dalam perkara ini,” katanya.
Sebaliknya, Wan Fayhsal mendakwa kerajaan sendiri menggunakan kemudahan kerajaan bagi program politik, dengan merujuk kepada siaran langsung program “Ceramah Umum Pakatan Harapan: Keadilan Untuk Bangsa Johor” pada 15 Jun lalu yang disiarkan menerusi RTM.
Beliau berkata, sebagai agensi yang memainkan peranan penting dalam sektor agrokomoditi dan ekonomi negara, FELDA sewajarnya terus diberi perhatian dan penghormatan.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan pembatalan Sambutan Hari Peneroka FELDA 2026 Peringkat Negeri Johor sebagai satu tindakan yang mengkhianati warga peneroka, selain menggesa mereka menilai perkara tersebut dalam Pilihan Raya Negeri Johor.
Terdahulu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mendedahkan beliau dihalang memasuki kawasan FELDA bagi penyerahan geran hak milik kepada peneroka sempena sambutan Hari Peneroka FELDA Negeri Johor 2026, hujung minggu lalu.
Ini menyebabkan majlis yang sepatutnya dijadual berlangsung di FELDA Ulu Belitong, Kluang pada 20 dan 21 Jun lalu terpaksa ditukar ke Dewan Dato Onn, Taman Sri Lambak, Kluang. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.