
KUALA LUMPUR, 16 Mei 25 – Wartawan veteran dan tokoh pemikir politik, Datuk A Kadir Jasin, berkata Malaysia perlu segera membina barisan kepimpinan baharu bagi menggantikan generasi lama yang semakin lemah dan terikat dengan politik peribadi.
Menurutnya, negara tidak boleh terus bergantung kepada pemimpin pasca-Perang Dunia Kedua dan perlu memberi ruang kepada tokoh muda yang lebih segar dan berwibawa.
“Kita tidak boleh tangguh terlalu lama untuk melakukan peralihan. Kepimpinan sekarang semakin tua dan terperangkap dalam politik peribadi yang merosakkan,” katanya.
Beliau turut membangkitkan persoalan mengenai siapa yang layak menggantikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan mencadangkan agar rakyat mula mengenal pasti sekurang-kurangnya 10 tokoh yang berpotensi memimpin negara dalam lima hingga 10 tahun akan datang.
Nama seperti Nurul Izzah Anwar, Datuk Seri Rafizi Ramli dan beberapa pemimpin muda lain disebut sebagai calon masa depan, namun A Kadir mengingatkan agar pemilihan tidak dipengaruhi unsur nepotisme dan kronisme.
“Nurul Izzah mungkin ada peluang, tapi beliau tetap akan dikaitkan dengan nama bapanya. Ini cabaran utama jika mahu muncul sebagai pemimpin yang diyakini rakyat,” katanya.
A Kadir turut mengingatkan bahawa perubahan perlu datang dari dalam parti dan disokong oleh rakyat, bukan semata-mata melalui percaturan keluarga atau kelompok tertentu.
Katanya lagi, Malaysia memerlukan pemimpin yang benar-benar memahami keperluan rakyat, berani membuat keputusan sukar, dan mampu membawa negara ke arah masa depan yang lebih baik. @politiko.my