Wan Saiful Gesa Kerajaan Rujuk Laporan ERC Sebelum Persempadanan Semula

KUALA LUMPUR | 19 Sep 26 – Kerajaan digesa merujuk semula Laporan Jawatankuasa Reformasi Pilihan Raya (ERC) sebelum meneruskan sebarang langkah berkaitan persempadanan semula bahagian pilihan raya.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata laporan yang dihasilkan ERC perlu dibentangkan di Parlimen bagi menjadi input penting dalam perbincangan mengenai reformasi pilihan raya.

Beliau berkata ERC ditubuhkan oleh kerajaan pada 2018 dan dipengerusikan Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, dengan beliau sendiri merupakan salah seorang anggota jawatankuasa berkenaan.

“Saya kesal apabila kajian mendalam serta syor-syor reformasi komprehensif yang dihasilkan oleh jawatankuasa tersebut seolah-olah diketepikan begitu sahaja.

“Laporan ini seharusnya dibentangkan di Parlimen untuk menjadi input penting mana-mana perbincangan mengenai reformasi pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Wan Saiful, proses persempadanan semula juga wajar dikaji dan dicadangkan oleh sebuah badan bebas seperti yang disyorkan dalam laporan ERC.

Katanya, kewujudan badan yang bebas daripada pengaruh atau campur tangan eksekutif penting bagi memastikan proses pemetaan semula sempadan pilihan raya mempunyai integriti dan tidak terdedah kepada manipulasi politik.

“Tanpa sebuah badan bebas yang merdeka daripada sebarang pengaruh atau campur tangan eksekutif, proses pemetaan semula sempadan ini dikhuatiri terdedah kepada manipulasi politik untuk memberi kelebihan tidak adil kepada pihak tertentu menjelang PRU16,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata isu ketidaksamaan saiz pengundi atau malapportionment, khususnya di Semenanjung, memerlukan reformasi struktur dan bukan pendekatan secara ad hoc.

Beliau mendakwa terdapat kawasan pilihan raya yang mempunyai jumlah pengundi beberapa kali ganda berbanding kawasan lain, sekali gus memerlukan penelitian dalam proses reformasi persempadanan.

Wan Saiful yang juga Naib Presiden Wawasan Negara turut mempersoalkan sama ada cadangan persempadanan semula yang diutarakan kerajaan benar-benar bertujuan memperbetulkan sistem demokrasi atau mempunyai pertimbangan politik.

Menjelang persidangan Dewan Rakyat, beliau menggesa Laporan ERC dibentangkan di Parlimen dan sebuah badan bebas diwujudkan segera bagi memastikan proses persempadanan semula dapat dijalankan secara berintegriti dan adil.

Pada 13 September 2026, media melaporkan Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata SPR akan menjalankan kajian semula sempadan kawasan pilihan raya, tertakluk kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan. Kenyataan itu dibuat selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan pindaan bagi membolehkan pertambahan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak. SPR juga berkata pertambahan kerusi itu akan mengambil kira kawasan pilihan raya di Semenanjung. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

Cutilah Rafizi, kata Dominic

“Jika beliau terlalu sibuk dengan urusan parti sehingga gagal melaksanakan tugas sebagai Menteri Ekonomi, lebih baik Rafizi mengambil cuti sementara. Sejak dilantik, tiada pencapaian ketara yang dapat dibanggakan rakyat,” katanya
Read More
Total
0
Share