
KUALA LUMPUR, 25 NOV 25 – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, menggesa kerajaan melaksanakan reformasi menyeluruh terhadap Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) dengan menekankan keperluan melantik profesional terlatih bagi memulihkan integriti dan keberkesanan agensi itu.
Beliau berkata walaupun isu berkaitan fungsi J-KOM telah berulang kali dibangkitkan di Dewan Rakyat sejak beberapa tahun lalu, masalah asasnya masih tidak diselesaikan, termasuk kelemahan dalam penyampaian maklumat kerajaan serta risiko salah guna sebagai alat propaganda politik.
Wan Saiful merujuk teguran terbaharu daripada Ahli Parlimen Kota Melaka, yang mempertikaikan keupayaan J-KOM menyampaikan maklumat kepada rakyat, serta Ahli Parlimen Bagan Serai, yang memberi amaran agar agensi dibiayai cukai rakyat itu tidak dipergunakan untuk tujuan partisan.
“Semua kritikan ini membawa mesej yang sama — J-KOM mesti kembali kepada fungsi asalnya: menyampaikan maklumat secara adil, telus dan berkesan tanpa kecenderungan politik,” katanya.
Wan Saiful turut menegaskan bahawa J-KOM telah mengalami tiga pertukaran Ketua Pengarah di bawah kerajaan semasa, sesuatu yang menurutnya menimbulkan persoalan tentang kemungkinan campur tangan politik dalam proses lantikan.
Beliau kemudian membandingkan J-KOM dengan Government Communication Service (GCS) di United Kingdom, sebuah agensi komunikasi kerajaan yang mengamalkan standard profesional tinggi, garis panduan operasi jelas dan bebas daripada pengaruh politik.
“GCS mempunyai etika ketat dan melaporkan perkembangan kepada Parlimen secara berkala bagi memastikan ketelusan dan semak imbang. Model ini boleh dijadikan contoh dalam memperkukuh J-KOM,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan, khususnya Kementerian Komunikasi, menilai semula tujuan asas penubuhan J-KOM serta memastikan semua pelantikan utama — termasuk Ketua Pengarah dan pegawai kanan — dibuat secara kompetitif dan terbuka kepada profesional berkelayakan.
“Pelantikan pegawai awam yang terlatih menjamin neutraliti, konsistensi dan kestabilan kepimpinan. Hanya dengan cara itu integriti J-KOM dapat dipulihkan,” tegasnya.
Menurut beliau, J-KOM sepatutnya menjadi jambatan antara kerajaan dan rakyat, dan reformasi struktur amat diperlukan bagi mengembalikan kepercayaan awam.
“Untuk memenangi semula keyakinan rakyat, J-KOM mesti kembali kepada asasnya — profesional, telus, adil dan berkesan,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.