Wawasan Sasar 1,000 Ahli Setiap Bahagian Menjelang Hujung September – Setiausaha Agong

KUANTAN | 17 Sep 26 – Parti Wawasan Negara (Wawasan) menyasarkan sekurang-kurangnya 1,000 ahli bagi setiap bahagian menjelang hujung September ini sebagai persediaan memperkukuh struktur organisasi dan jentera parti menghadapi pilihan raya akan datang.

Setiausaha Agung Wawasan, Saifuddin Abdullah berkata sasaran itu penting bagi memastikan setiap bahagian mempunyai keahlian yang mencukupi untuk menggerakkan jentera di peringkat akar umbi.

Menurut beliau, ketua bahagian, ketua cawangan serta anggota jawatankuasa yang dilantik kini sedang giat menjalankan pendaftaran ahli baharu bagi mencapai sasaran tersebut.

“Kita nak pastikan setiap bahagian sekurang-kurangnya ada 1,000 ahli menjelang hujung September,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Bahagian (Penaja) Wawasan Indera Mahkota, di Kuantan, semalam.

Saifuddin berkata kekuatan keahlian perlu menjadi asas kepada pembinaan jentera pilihan raya kerana parti tidak boleh bergantung kepada angka keahlian di atas kertas semata-mata.

“Bagaimana kita nak hadapi pilihan raya umum (PRU) jika ahli cuma ratusan, macam mana nak gerakkan jentera,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Saifuddin menegaskan Wawasan mahu membina sebuah parti yang berwajah Malaysia, selari dengan komposisi masyarakat majmuk negara.

“Kita bukan menolak politik identiti, ini parti berwajah Malaysia mengikut komposisi demografi masyarakat majmuk dan mewakili seluruh rakyat,” katanya.

Menyentuh agenda penyatuan ummah, Saifuddin berkata Wawasan bersedia memainkan peranan sebagai jambatan kepada usaha memperluas kerjasama politik, termasuk dengan parti-parti yang mempunyai kesediaan untuk bekerjasama.

Beliau berkata matlamatnya ialah membentuk gabungan politik yang lebih besar dan mampu bergerak bersama demi memastikan kestabilan politik negara. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share