
KUALA LUMPUR, 24 Jun 25 – Timbul persepsi terdapat campur tangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam proses pelantikan hakim walaupun beliau boleh membuat penafian, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri itu mendakwa, turut timbul persepsi kedudukan berkenaan digunakan untuk mempengaruhi keputusan melibatkan aspek undang-undang negara.
“Dia (Anwar) akan nafi tapi inilah persepsi orang ramai.
“Sekarang ini, keputusan-keputusan yang dibuat kalau sokong perdana menteri, lulus…kalau tidak sokong akan ada tindakan…ini yang sedang berlaku,” kata Dr Mahathir ketika sidang media selepas sesi meja bulat Sekretariat Pertahan Sistem Kehakiman di ibu negara.
Berbeza ketika pentadbirannya, Dr Mahathir berkata, urusan pelantikan hakim diserahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).
“Sepatutnya hakim sudah ada suruhanjayanya, jadi suruhanjaya ini yang memilih siapa yang mereka mahu untuk menjadi hakim dan keputusan itu disampaikan terus kepada Yang di-Pertuan Agong tanpa campur tangan perdana menteri.
“Waktu saya jadi perdana menteri dulu, itu yang saya lakukan apabila nama diberi kepada saya untuk dikemukakan kepada Agong, saya tak campur tangan, tukar nama dan sebagainya… siapa sahaja yang dipilih oleh suruhanjaya itu, itulah yang akan saya sampaikan kepada Agong,” katanya.
Sekretariat Pertahan Sistem Kehakiman yang bersidang hari ini turut mengemukakan enam resolusi berkaitan pelantikan hakim baharu bagi menggantikan hakim yang bersara wajib.
Antara resolusi itu adalah individu yang disyorkan harus berdasarkan kelayakan, integriti bukan atas hubungan atau kecenderungan politik.
Selain itu, mereka juga menuntut tidak harus wujud situasi konflik kepentingan antara perdana menteri lebih-lebih lagi terdapat kes di mahkamah yang melibatkan perdana menteri atas kapasiti peribadinya.
Sehubungan itu, mereka juga menggesa Anwar mengambil cuti rehat daripada jawatan itu sehingga kesnya di mahkamah selesai. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.