Zafrul Sertai PKR: Manifestasi Reformasi Bukan Kitab Suci

Keputusan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) minggu lalu mencetuskan dua reaksi bertentangan – kekaguman terhadap ketangkasan politik Anwar Ibrahim, dan pada masa yang sama – kekecewaan dikalangan penyokong akar umbi PKR yang melihatnya sebagai penggadaian terhadap prinsip reformasi.

Semua masih ingat sebelum menjadi kerajaan, Anwar dalam ceramahnya secara terang-terangan mengkritik Zafrul malah rakaman video itu terag-terang mengatakan Zafrul antara menteri yang mahu digugurkan.

Nah, sekarang apa dah jadi? Bukan saja dia kekal sebagai menteri, malah mendapat ‘restu’ untuk sertai PKR. Namun ini bukanlah isu besar, sebab segala janji reformasi juga tak pernah tertunai hingga kini. Bermakna ‘Reformasi bukan kitab suci’ – sebaliknya hanya retorik untuk dapat kuasa.

Sekilas pandang, langkah ini memberi isyarat bahawa Anwar masih menguasai permainan kuasa – menarik keluar tokoh elit dari UMNO dan menyerapnya ke dalam PKR tanpa mempedulikan sentimen akar umbinya.

Namun, persoalan lebih besar membayangi langkah ini: apakah PKR sedang membina masa depan yang inklusif, atau sedang berubah menjadi kelab eksklusif elit teknokrat?

Tengku Zafrul bukan ahli politik apatah lai pendukung reformasi – ini fakta bukan auta. Beliau adalah mantan CEO bank yang dilantik sebagai Senator dan kemudian Menteri Kewangan di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dato’ Sri Ismail Sabri. Kini, di bawah Anwar, beliau meneruskan karier sebagai Menteri MITI.

Beliau tak pernah menang bertanding pilihan raya, tidak pernah melalui ujian akar umbi dan karenah organisasi parti. Tetapi kini mendapat laluan mudah untuk meniti hayat politik bersama PKR, sebuah parti yang dikatakan ‘Parti Derita’.

Zafrul tidak datang bersama jentera, tidak membawa sokongan akar umbi, tidak memiliki pengaruh budaya politik dalam PKR. Malah, ramai melihat beliau sebagai lambang “politik payung emas” – golongan yang tidak melalui jalan berliku tetapi terus mendapat tempat dalam kepimpinan.

Parti yang dikatakan membawa obor perubahan (reformasi) kini kelihatan perlahan-lahan berubah menjadi parti untuk orang elit, bukan parti yang ahlinya bergolek di tengah jalan raya.

Langkah menyerap Zafrul mungkin bijak dari sudut permainan politik – seorang teknokrat yang boleh memudahkan urusan pelaburan dan ekonomi – tetapi ia juga memperlihatkan bagaimana realpolitik mengatasi idealisme dalam PKR era terkini.

Percaturan ‘politik kuasa’ benar-benar telah menimbus idealisme yang kononnya ‘parti derita’ yang hidup bersama dengan denyut nadi rakyat.

PKR sudah lama bergelut dengan imej dalaman – konflik antara ‘pejuang jalanan’ dan ‘pemimpin manja’. Masuknya Zafrul hanya akan mengukuhkan persepsi bahawa parti kini semakin jauh dari realiti dan sejarah.

Tanpa kejelasan peranan atau penglibatan beliau dalam parti, risiko besar menanti: keretakan dalaman parti dan ahli akar umbi, sukar dielakkan, dan ini berita baik untuk pembangkang, jika bijak mengambil kesempatan, jika bijak.

Kemasukan Zafrul juga membayangkan bahawa Anwar sentiasa bersedia mengorbankan prinsip demi kelangsungannya menjadi PM. Beliau akan menggambarkan ‘gerakan’ ini sebagai strategi pengukuhan naratif reformasi.

Mereka yang taksud dengan Anwar sahaja akan percaya naratif ini. Bagi kita yang waras, kembali ingat akan maksud semua ini – Reformasi bukanlah janji suci hatta kitab suci, ia hanya ‘kitab’ karangan Anwar untuk boleh dia jadi Perdana Menteri. @analitiko

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share