
MELAKA | 7 Sep 26 – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, memberi mandat kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, untuk menentukan rakan kerjasama menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, namun menegaskan BN tidak boleh memperoleh kurang daripada 21 kerusi.
Zahid berkata Ab Rauf perlu berunding dengan teliti dan memilih “partner” yang mampu memberikan kemenangan kepada BN serta mempunyai keikhlasan dan kesetiaan dalam kerjasama politik.
“Pilih partner yang boleh memberikan kemenangan pada kita. Pilih partner yang ikhlas dan jujur dengan kita. Pilih partner yang berdakap di belakang sama, di depan sama.
“Bukan partner yang cakap depan lain, belakang buat lain,” katanya dalam ucapannya di Melaka.
Zahid turut memberi bayangan bahawa beliau mengetahui pihak yang dikehendaki pengundi Melaka untuk bekerjasama dengan BN.
“Saya tahu pengundi Melaka mahu kita bekerjasama dengan siapa.
“Tiba masanya… saya tahu keputusan yang terbaik yang akan saya buat demi kepentingan untuk Melaka,” katanya.
Beliau pada masa sama meminta Ab Rauf menggunakan sokongan golongan muda untuk memastikan kestabilan politik negeri, selain menggesa kerajaan negeri memberi ruang kepada anak muda.
Zahid berkata BN sebelum ini pernah membuktikan keupayaannya memenangi pilihan raya Melaka secara bersendirian dan mendapat sokongan rakyat menerusi “gelombang biru”.
“Kalau dulu kita telah membuktikan dengan solo kita membuat keputusan dan rakyat Melaka bersama-sama dengan gelombang biru ketika itu,” katanya.
Bagaimanapun, mesej paling jelas daripada ucapan itu ialah tuntutan supaya kekuatan BN di Melaka tidak dikurangkan dalam sebarang rundingan.
“Datuk Rauf berunding elok-elok, jaga hati orang Melaka. Jangan kurang daripada 21 kerusi,” katanya.
Pada PRN Melaka 2021, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.
Pendirian Zahid itu sekali gus meletakkan satu garis penting dalam rundingan kerjasama menghadapi PRN akan datang.@politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.