Zaid Ibrahim Puji Ketegasan Putrajaya, Gesa Hati-hati Terhadap Pelaburan Luar

KUALA LUMPUR |18 Julai 26 – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim memuji tindakan kerajaan menjalankan siasatan terhadap operasi Network School di Forest City, Johor, sambil mengingatkan bahawa kepentingan keselamatan dan kedaulatan negara tidak boleh dikompromi semata-mata untuk menarik pelaburan asing.

Kenyataan itu dibuat ketika kontroversi membabitkan Network School masih hangat diperkatakan susulan dakwaan bahawa terdapat individu berketurunan atau berkewarganegaraan Israel berada di premis berkenaan menggunakan pasport negara ketiga. Dakwaan tersebut mendorong kerajaan melancarkan siasatan melibatkan aspek imigresen dan keselamatan negara.

Dalam hantaran di media sosial, Zaid mendakwa pengasas Network School, Balaji Srinivasan, bersikap angkuh apabila mengugut untuk menghentikan pelaburan bernilai ratusan juta dolar sekiranya tidak diberikan jaminan daripada kerajaan Malaysia.

“Dia mahukan jaminan dan pertemuan dengan Perdana Menteri. Jika tidak, semua pelaburan bernilai berbilion dolar akan ditarik balik,” katanya.

Menurut Zaid, individu berkenaan juga tidak menjelaskan isu sebenar yang menjadi subjek siasatan, sebaliknya hanya menyentuh mengenai kehadiran individu yang mempunyai kewarganegaraan Yahudi.

Beliau turut memuji pegawai kanan kerajaan di Putrajaya kerana bertindak tegas bagi memastikan sebarang pelaburan yang memasuki negara ini tidak menjejaskan keselamatan serta kepentingan nasional.

Sementara itu, media melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengesahkan kerajaan mengarahkan siasatan menyeluruh terhadap operasi Network School. Beliau menegaskan bahawa sekiranya terdapat warga Israel didapati memasuki Malaysia secara melanggar undang-undang atau syarat imigresen, tindakan pengusiran akan diambil.

Pada masa yang sama, Jabatan Imigresen dilaporkan telah memeriksa dokumen perjalanan 266 warga asing dari 40 negara yang berada di Network School dan setakat pemeriksaan awal tidak menemukan sebarang pelanggaran imigresen atau bukti kehadiran pemegang pasport Israel. Walau bagaimanapun, siasatan lanjut masih diteruskan oleh pihak berkuasa.

Sementara itu, pemaju Forest City menegaskan pihaknya memberi kerjasama penuh kepada kerajaan dan akan mengambil tindakan mengikut hak perundangan serta kontrak sekiranya didapati terdapat pelanggaran undang-undang oleh mana-mana pihak yang beroperasi di kawasan tersebut.

Mengulas isu itu, Zaid mengingatkan Malaysia supaya tidak terlalu ghairah mengejar pelaburan asing sehingga mengabaikan aspek keselamatan negara.

Beliau mendakwa dana yang dikaitkan dengan Zionis sedang mencari destinasi pelaburan baharu dan menggesa kerajaan terus berwaspada agar negara tidak terjerumus kepada pengaruh asing yang boleh menjejaskan kedaulatan.

Setakat ini, siasatan pihak berkuasa masih berjalan dan kerajaan belum mengumumkan sebarang kesalahan yang dilakukan oleh pengurusan Network School. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share