
NILAI | 17 Feb 26 – Gelombang keluar parti dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia terus berlarutan apabila 23 pemimpin dan ahli Armada sekitar Nilai mengumumkan peletakan jawatan serta keluar parti berkuat kuasa serta-merta.
Ketua Armada Nilai, Hafizee Zawawi berkata keputusan itu dibuat susulan pemecatan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Timbalan Presiden parti serta peletakan jawatan Ketua Armada Bandar Baru Nilai, Ajwil Awil.
Menurut beliau, keputusan tersebut diambil selepas perbincangan dan pertimbangan menyeluruh bersama barisan kepimpinan serta ahli akar umbi yang mendakwa telah hilang kepercayaan terhadap parti di pelbagai peringkat kepimpinan.
“Selepas perbincangan dan pertimbangan sewajarnya, kami sebulat suara meletakkan semua jawatan dan tidak lagi bersama parti atas dasar prinsip serta pendirian yang jelas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan keputusan itu dibuat secara sukarela tanpa sebarang paksaan daripada mana-mana pihak.
Antara yang bersama beliau ialah pimpinan Armada Bahagian Seremban, Armada Cawangan Nilai, Armada Cawangan Bandar Baru Nilai serta Armada Cawangan Gedong Lalang, melibatkan jawatan daripada pengerusi bahagian, naib ketua, setiausaha, bendahari hingga ahli jawatankuasa.
Hafizee turut menekankan bahawa suara anak muda tidak boleh dinafikan dalam menentukan hala tuju perjuangan sesebuah organisasi.
“Suara anak muda mempunyai impak dan nilai tersendiri dalam menentukan masa depan perjuangan,” katanya.
Perkembangan itu dilihat sebagai satu lagi tamparan kepada kepimpinan parti di peringkat pusat, ketika kemelut dalaman masih belum menunjukkan tanda-tanda reda. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.