9 Wakil Rakyat PKR Tuntut RCI Isu Campurtangan Pelantikan Hakim

KUALA LUMPUR, 7 Julai 25 – Seramai sembilan Ahli Parlimen PKR yang di ketuai oleh mantan Timbalan Presiden PKR, mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan campur tangan dalam pelantikan hakim.

Menurut Datuk Seri Rafizi Ramli, kemelut berhubung pelantikan jawatan tertinggi badan kehakiman perlu diberi perhatian segera kerana situasinya kini dilihat mirip skandal video VK Lingam pada 2007 yang membabitkan cubaan mempengaruhi lantikan Ketua Hakim Negara ketika itu.

“Apabila keputusan dibuat secara tertutup, rakyat akan berteka-teki. Kita pernah melalui episod ‘correct, correct, correct’, kita tidak mahu sejarah berulang,” katanya pada sidang media khas di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Subang, Puchong Jaya pada Isnin.

Rafizi turut menegaskan bahawa penubuhan RCI merupakan langkah paling berkesan untuk menangkis segala spekulasi mengenai campur tangan dalam urusan kehakiman dan memulihkan keyakinan rakyat.

Tambah beliau, mesyuarat tergempar Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) pada Jumaat lalu yang dikatakan tidak memenuhi notis 10 hari mengundang persoalan sama ada wujud usaha mengubah senarai calon hakim.

Beliau turut memaklumkan laporan polis sudah dibuat oleh pegawai Hakim Mahkamah Persekutuan berhubung dakwaan campur tangan dan berharap siasatan terperinci dapat dimulakan segera.

Menurutnya, kelewatan mengisi kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan hanya memburukkan lagi persepsi negatif terhadap kebebasan badan kehakiman.

Sidang media itu turut dihadiri Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan, Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share