Oleh : Dark Horse

UMDAP adalah istillah ejekan ke atas UMNO dan DAP. Ejeken ni berpunca dari kerjasama tidak bermoral yang wujud kerana politik kuasa, bukan prinsip politik
Ejeken ini, diambil oleh UMNO dan DAP menjadi ‘absah’ pada perjuangan politik mereka. Ia menjadi manifestasi betapa murahnya harga prinsip dalam landskap kuasa politik Malaysia.
UMNO dan DAP dulunya berdiri di atas ideologi yang saling bertentangan. UMNO melaungkan ketuanan Melayu, mempertahankan naratif bangsa dan agama sebagai benteng terakhir kuasa politik mereka. DAP pula membina legasinya di atas nama kesamarataan, reformasi, dan kebencian terhadap rasuah serta politik perkauman.
Namun selepas PRU15, segala perbezaan itu lenyap dalam sekelip mata. Yang tinggal hanyalah keinginan untuk bertahan di puncak kuasa, walau dengan siapa sekalipun.
Tidak lama dahulu, pemimpin UMNO menuduh DAP sebagai perosak negara, ancaman kepada Islam dan hak istimewa Melayu. Dalam nada yang sama, DAP menyamakan UMNO dengan rasuah, salah guna kuasa dan budaya politik lapuk.
Kini, kedua-duanya bukan sahaja duduk dalam kabinet yang sama, malah berganding bahu menzahirkan wajah perpaduan yang dibuat-buat.
Ini bukan perpaduan demi rakyat. Ini perkongsian kuasa demi kelangsungan politik peribadi.
Gabungan ini dijenamakan sebagai “Kerajaan Perpaduan”. Tapi realitinya, ia adalah sebuah kerajaan perpuraan—dibina atas sisa kekalahan, bukan atas mandat rakyat. Ia tidak membawa idea baru, sebaliknya mengekalkan budaya lama: politik akomodatif, pembahagian kuasa elitis, dan pengabaian terhadap amanah moral.
UMNO masuk ke dalam kerajaan bukan atas kekuatan, tetapi kerana ehsan Anwar dan DAP. Dalam gabungan, UMNO miliki kerusi paling sedikit, maka mereka mudah digunakan.
DAP pula menerima mereka bukan kerana percaya, tetapi kerana mahu kuasa jadi kerajaan. Dan yang menjadi mangsa percaturan ini—ialah rakyat.
DAP pernah berjanji akan menghapuskan politik korup. Hari ini, mereka bukan sahaja diam terhadap pemimpin korup UMNO, malah menjadi pelindung tidak rasmi kepada segala hipokrasi kerajaan. Kritikan terhadap pelantikan, keputusan dasar, malah skandal—diredam atas nama kestabilan.
UMNO pula terus bermain naratif “Melayu terancam” dalam kalangan penyokongnya, sambil berpura-pura menerima DAP sebagai rakan dalam kerajaan.
Gabungan ini bukan pertukaran idea, tapi tawar-menawar kuasa yang mengorbankan kejujuran politik.
UMDAP adalah produk paling jelas dari budaya politik yang sudah hilang malu. Tiada lagi garis pemisah antara musuh dan sekutu—yang ada hanyalah siapa boleh beri nyawa politik lebih panjang.
Dan rakyat kini menyaksikan satu pertunjukan elit yang sedang bersandiwara dengan senyuman palsu, ucapan berlapik, dan janji yang tidak lagi bernilai.
Selagi UMDAP wujud atas nama stabiliti tanpa integriti, selagi itulah demokrasi kita akan kekal dalam koma.
Malaysia tidak kekurangan pemimpin. Tapi kita semakin kekurangan pemimpin yang masih tahu malu, masih tahu prinsip, dan masih percaya bahawa kuasa bukan matlamat, tapi amanah.
UMDAP mungkin selamat hari ini. Tapi sejarah tidak pernah melindungi mereka yang menang tanpa maruah.
DarkHorse Seorang Penulis Bebas