
KUALA LUMPUR, 11 APR 25 – Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin percaya bekas pembantu penyelidik kepada ahli politik Muhammed Yusoff Rawther adalah seorang anak muda yang berprinsip.
Ahli Parlimen Larut itu berkata, Muhammed Yusoff yang kini berhadapan perbicaraan di mahkamah juga merupakan individu yang berani.
“Melihat kepada sifatnya dan apabila dikaitkan dengan apa yang berlaku sekarang, betullah Yusoff seorang pemuda yang berani.
“Dia berani mengemukakan afidavit bersumpah. Dia berani menjalankan ujian poligraf bagi membuktikan ketulenan dakwaannya dan dia berani mengambil tindakan saman sivil terhadap individu paling berkuasa di negara ini,” kata Hamzah, di laman media sosial miliknya.
Beliau sebelum itu mengadakan pertemuan bersama anggota keluarga Muhammed Yusoff di pejabatnya iaitu dua adik lelaki dan dua ibu saudaranya.
“Rupa-rupanya Yusoff seorang anak muda yang berprinsip. Dia akan tentang apa sahaja yang dia fikir sebagai perbuatan yang salah,” kata Hamzah.
“Saya mendoakan agar Yusoff selamat daripada segala penganiayaan, kerana saya yakin beliau merupakan seorang anak muda yang dianiaya,” tambahnya.
Muhammed Yusoff didakwa atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram, dalam kenderaan dinaikinya di hadapan surau IPK Kuala Lumpur pada 10.15 pagi, 6 Sept tahun lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang 12 sebatan.
Dia juga didakwa atas pertuduhan memiliki dua pucuk pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara di sini, pada 9.25 pagi, 6 Sept 2024, mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan. @politiko.my