
KUALA LUMPUR, 5 MEI 25 – Malaysia tidak bergantung kepada satu-satu pasaran khusus sebaliknya membina ekosistem rantaian bekalan yang teguh serta mempelbagaikan eksport, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Berucap di persidangan Dewan Rakyat khas di Parlimen hari ini, Anwar berkata, disebalik pelaksanaan tarif oleh Amerika Syarikat (AS) prestasi eksport Malaysia masih kukuh.
“Dengan penangguhan pelaksanaan tarif timbal balas, impak perdagangan Malaysia dijangka masih lagi terkawal dalam tempoh terdekat ini.
“Malahan, segala ikhtiar reformasi struktur yang giat dilaksanakan, kerajaan Madani telah membina ekosistem rantaian bekalan yang teguh serta mempelbagai produk dan pasaran eksport negara.
“Ini bagi memastikan kita tidak terlalu bergantung kepada mana-mana pasaran mahupun produk yang terdedah kepada kejutan luaran,” kata Anwar.
Ahli Parlimen Tambun itu berkata, produk elektrik dan elektronik (E&E) merupakan eksport tertinggi Malaysia ke AS.
“Daripada jumlah eksport ke Amerika Syarikat pada tahun lalu, produk elektrik dan elektronik (E&E) merupakan eksport utama yang menyumbang hampir 60% atau RM119.9 bilion.
“Ini membuktikan eksport ke Amerika Syarikat sebahagian besarnya tertumpu kepada produk E&E.
“Berdasarkan pemerhatian awal, prestasi eksport Malaysia kekal di landasan kukuh, khususnya eksport E&E yang masih mengekalkan momentum pertumbuhan yang menggalakkan,” kata Anwar lagi. @politiko.my