
KUALA LUMPUR, 12 MEI 25 – PAS menjangkakan akan bertanding di sekurang-kurangnya enam kerusi daripada 73 kerusi DUN untuk PRN Sabah, kata Timbalan Presiden Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Parti itu juga katanya sedia bertanding menggunakan logo Perikatan Nasional (PN), di kawasan yang mereka sudah sasarkan.
“Pengagihan terperinci belum ada, cuma rangka dah ada, PAS dah kenal pasti sekurang-kurangnya enam kerusi yang kita akan tandingi dalam PRN Sabah akan datang dan mungkin kita akan gunakan logo dengan mana-mana parti gabungan kita nanti,” katanya, kepada pemberita.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu turut mengesahkan PN sedang meneroka ruang kerjasama politik dengan parti tempatan, termasuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk menghadapi PRN itu nanti.
“PAS komponen dalam PN dan kita sedang meninjau (kerjasama). Cuma kita meninjau tentang gabungan atau muafakat politik.
“Saya pun dah berapa kali diperingkat PN mengadakan perbincangan untuk memperkukuhkan PN di peringkat Sabah tetapi kita akui lepas pilihan raya dulu semua Adun-Adun yang menang atas tiket PN ini melompat parti dan bersama dengan GRS dan kita ada seorang Adun lantikan daripada PAS.
“Adun lantikan itu dilantik lepas pilihan raya dan sebab itu mereka kekal dalam kerajaan, dia tak boleh lompat sebab bukan menang atas tiket parti. Jadi, oleh kerana itu, hubungan dengan GRS sangat baik dan tidak ada isu.
“Dan pandangan saya, kita perlu lihat kerangka yang lebih besar untuk menghadapi pilihan raya akan datang, tidak mustahil untuk PAS mengadakan kerjasama dengan mana-mana pihak yang sedia menerima syarat-syarat kita,” katanya.
Beliau turut menyarankan satu gabungan besar diwujudkan melibatkan parti-parti tempatan Sabah bagi menghadapi kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan BN pada PRN itu nanti.
“Umno dah buat keputusan yang dia akan bekerjasama dengan PH, cuma di Sabah ini kita ada parti Warisan, GRS, PN, jadi saya rasa kalau kita boleh wujudkan satu gabungan besar itu lebih baik.
“Dan saya melihat perlunya kerangka ini, parti-parti PN, GRS, Warisan dapat diwujudkan satu gabungan untuk kita hadapi gabungan Umno-PH,” katanya.
Katanya, PAS juga akan berbincang dengan Bersatu bagi meniliti semula gabungan di peringkat Sabah.
“Sebab Sabah ini kita kena ada gabungan yang kuat untuk bersama-sama dalam PRN akan datang,” tambahnya. @politiko.my