
KUALA LUMPUR, 29 Mei 25 – Seorang ahli Bersatu cawangan Melaka Baharu, dari Bahagian Kota Melaka Zulfakar Sahrudin membuat surat terbuka kepada Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesanya untuk meletakkan jawatan tersebut bagi memberi ruang muka baru menerajui parti.
“Tan Sri, lepaskanlah jawatan dengan jiwa besar, Bersatu tidak akan lemah tanpa Tan Sri, bahkan Bersatu akan lebih kuat jika Tan Sri membuka jalan.
“Sekian, dengan penuh kasih sayang dan harapan yang tinggi,” katanya, dalam surat terbuka yang disiarkan di Facebook miliknya.
Zulfakar turut mengingatkan janji Muhyiddin ketika Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu pada Nov 2023 lalu beliau akan melepas jawatan, namun selepas tempoh itu menangguhkan pengundurannya dari parti.
“Tetapi janji tetaplah janji, sebagai ahli yang berpegang kepada prinsip integriti, kami berpendapat satu ketika nanti kepimpinan mesti diserahkan kepada generasi baharu, demi kelangsungan dan pembaharuan parti.
Katanya, proses mahkamah yang berjalan melibatkan pucuk pimpinan parti itu mencalar imej parti yang memperjuangkan integriti, bersih, dan stabil.
“Kami risau jika pemimpin utama masih dibelenggu dengan kes perundangan yang serius, ia bukan sahaja mematahkan semangat jentera parti, malah menjejaskan imej parti menjelang PRN dan PRU16,” katanya.
Zulfakar turut mengingatkan Muhyiddin parti itu bukan milik individu sebaliknya milik seluruh anggotanya.
“Bersatu bukan milik individu. Ia milik semua dari pimpinan pusat sehinggalah ke cawangan di kampung dan taman perumahan. Parti ini dibina bukan untuk ditumpangkan harapan kepada satu sosok semata tetapi atas dasar perjuangan kolektif.
“Kini tiba masanya untuk kita mempersiapkan pelapis yang berwibawa, berdaya saing, dan berwawasan. Bersatu mempunyai ramai tokoh pelapis, kita tidak kekurangan pemimpin, kita hanya perlu ruang untuk mereka maju ke hadapan,” tambahnya. @politiko.my